Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri: PAS-Umno bincang isu sebelum bahas di parlimen

PARLIMEN | Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang bermula hari ini dijangka hangat dengan pelbagai isu serta usul yang dibangkitkan ahli parlimen dari kerajaan dan pembangkang.

Menurut ketua pembangkang yang baru, Ismail Sabri Yaakob, segala isu yang akan dibangkitkan oleh pembangkang dalam perbahasan Dewan Rakyat akan terlebih dahulu dibincangkan secara bersama antara Umno dan PAS.

"Perbahasan akan mula esok, saya percaya esok kita akan mulakan perbincangan di parlimen secara bersama PAS-Umno," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada media selepas selesai menghadiri pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini hingga 11 April menyaksikan perubahan tempat duduk beberapa ahli parlimen BN susulan pelantikan Ismail, selain wakil rakyat BN yang keluar parti.

Perubahan kedudukan tempat duduk terkini itu bagi menggantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti daripada memegang jawatan itu.

Menurut Ismail Sabri, beliau kini diletakkan di tempat duduk pertama pembangkang dan diikuti oleh bekas perdana menteri Najib Razak, sementara Ahmad Zahid pula di tempat duduk nombor tiga.

"Banyak berubah, banyak yang melompat itu parti lain dan kita buat pengubahsuaian berdasarkan apa yang ada, saya di kedudukan nombor satu di tempat ketua pembangkang.

"Di sebelah saya bekas perdana menteri Najib, ranking kerajaan selepas itu barulah Ahmad Zahid," katanya.

Kerajaan campuran

Sementara itu, berkaitan usaha sama antara PAS dan Umno, Ismail Sabri yang juga merupakan naib presiden Umno berkata masih terlalu awal untuk menubuhkan kerajaan campuran melibatkan kedua-dua parti itu.

Ismail menyerahkan kepada pihak jawatankuasa kerja yang ditubuhkan kedua parti itu untuk menilainya.

"Saya rasa itu lebih mudah (untuk bincang kerajaan campuran), setakat ini belum ada perbincangan.

"Kita baru mewujudkan jawatankuasa kerja, untuk lihat lebih lanjut. Biar jawatankuasa kerja itu berbincang sama mereka dan memberi cadangan kepada jawatankuasa induk, yang dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man," katanya.

Ismail berkata, Umno dan PAS memberi jawatankuasa kerja itu selama sebulan setengah untuk memberi cadangan yang menguntungkan kedua-dua parti itu.

"Kita bagi mereka satu bulan setengah sebab minggu lepas mesyuarat pertama kita.

"Ramai dah cakap terlalu ke depan. Apa yang sepatutnya, saya kata biarlah, bagi peluang kepada jawatankuasa kerja," katanya.

Pada 9 Mac lalu, Umno dan PAS dilaporkan dalam perbincangan untuk membentuk kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir mereka.

Negeri tersebut adalah Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis.

Kerjasama itu juga bakal menyaksikan Umno dan PAS menggoncang kerajaan Pakatan Harapan di Perak dan Kedah, yang mempunyai perbezaan kerusi DUN yang kecil.

Lihat Komen
ADS