Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berdepan cabaran dalam berdepan isu kahwin bawah umur, sama ada di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam.

Timbalan menterinya Hannah Yeoh menyatakan cabaran itu dalam wawancara bersama stesen radio BFM.

Bagi orang Islam, Yeoh berkata kementerian telah bertemu Majlis Raja-raja tetapi ada negeri yang tidak setuju had umur minimum daripada 16 kepada 18.

"Ramai yang merasakan ini (undang-undang sedia ada) memadai pada masa ini dan mereka hanya mahu prosedur operasi standard (SOP) diketatkan," katanya.

Setakat ini, katanya, hanya Selangor yang telah meminda undang-undang negeri untuk mengenakan syarat lebih ketat terhadap mereka di bawah umur 18 tahun yang mahu berkahwin.

Bagi orang bukan Islam pula, beliau berkata kerajaan juga tidak berhasrat membuat larangan kahwin bawah umur secara keseluruhan dengan segera.

Katanya, ia kerana mengambil kira keadaan kehamilan melibatkan pasangan bawah umur.

"Kami sedang melihat kesan, kami berbincang dengan NGO wanita tentang apabila kita ke arah fasa larangan secara keseluruhan, apa yang akan terjadi terhadap wanita-wanita ini yang mahu menjaga anak mereka - apakah status anak mereka mengikut undang-undang?

"Jadi jika ada tidak benarkan mereka berkahwin, (anak-anak) akan jadi anak tidak sah taraf... Ada komplikasi, sesetengahnya tidak boleh mewarisi nama dan harta bapa," katanya lagi.

Yeoh berkata kira-kira 137,000 kes kehamilan bawah umur antara 2011 hingga 2017.

"Ada dua pandangan - ada yang berkata dia tidak bersedia untuk membesarkan anak dan mahu paksa dia menyerahkannya untuk dijadikan anak angkat, ada juga yang berkata besarkan saja anak sebagai ibu tunggal, dia tak perlu berkahwin.

"Tetapi ini antara perkara yang memerlukan penelitian lanjut," katanya lagi.

Berkenaan kes pasangan lelaki jauh lebih tua daripada wanita, seperti perkahwinan lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak sebelas tahun di Kelantan sebelum ini, Yeoh berkata ia jelas kes pengantunan kanak-kanak (child grooming) yang boleh ditangani undang-undang sedia ada.

'Terjadi dalam semua masyarakat'

Yeoh yang juga anggota parlimen Segambut menegaskan isu perkahwinan kanak-kanak wujud dalam semua masyarakat.

"Statistik bukan tinggi di kalangan orang Islam saja tetapi juga orang bukan Islam. Bilangan kes orang bukan Islam di Perak sangat tinggi.

"Di Sabah dan Sarawak ada perkahwinan adat peribumi melibatkan kanak-kanak. Untuk setiap suku, ia berbeza. Bagi sesetengah suku, jika ada menghabiskan malam bersama untuk satu tempoh tertentu, mereka dikira berkahwinan," katanya.

Katanya, pihak bertanggungjawab di sana menumpukan perhatian untuk meningkatkan kesedaran di kalangan ketua masyarakat tentang keburukan mengahwinkan mereka di bawah umur.

Beliau berkata kementerian juga sedang melihat beberapa pendekatan lain, termasuk meminta Kementerian Pendidikan meningkatkan umur wajib pendidikan daripada 12 kepada 17 tahun, menawarkan bantuan pendidikan terhadap keluarga miskin dan menggalakkan perancangan keluarga.

'Didesak kemiskinan'

"Masalah kemiskinan memang nyata. Banyak ibu bapa merasakan dengan mengahwinkan anak perempuannya, dia akan mendapat hidup yang lebih baik.

"Kita perlu tukar pemikiran ini. Ia salah dan kita cuba membangkitkan isu tanggungjawab ibu bapa - perancangan keluarga yang baik.

"Jika anda tidak merancang keluarga, jika anda ada lapan hingga sembilan dan anda tidak boleh menyara mereka, dan anda akan terdesak untuk melepaskan anak perempuan (untuk dikahwinkan)," katanya lagi.

Dalam soal ini, katanya, kerajaan boleh menimbang utuk menawarkan peluang pendidikan untuk mengurangkan insiden seperti itu.

"Ini bermakna kita beri anda pilihan, anda tidak perlu melepaskan anak perempuan. Kita boleh beri latihan vokasional, biasiswa ke sekolah asrama, kita boleh beri alternatif," katanya lagi.

Walaupun isu itu dibahaskan secara hangat tahun lalu, Yeoh berkata ia telah meningkatkan kesedaran dan perbincangan berkenaan pendidikan wajib, pendidikan seks dan kehamilan bawah umur.