KATA ADUN | Penulisan saya kali ini akan dikecam kerana saya menyokong peruntukan diberi kepada program Telenisa.

Saya menyokong bukan kerana ia datang daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh, tetapi kerana Telenisa sebuah program yang baik.

Ia talian hayat untuk “women in distress” atau wanita yang sedang mengalami kesusahan dan tekanan.

Ia menjadi tempat wanita meminta pertolongan segera agar dilindungi jika didera suami, tempat wanita bertanya apa langkah yang patut mereka ambil jika berhadapan situasi mencengkam perasaan, tempat mendapatkan kaunseling dan banyak lagi.

Setakat ini tiada lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain yang dapat menyediakan khidmat seperti itu secara konsisten.

Sukarelawan mereka mempunyai dedikasi dan semangat yang tinggi kerana mereka melakukannya dengan ikhlas, iaitu mahu membantu wanita malang daripada pelbagai kaum dan agama .

Kalau KPWKM tidak memberi sumbangan untuk operasi Telenisa, adakah lembaga zakat sanggup memberi bantuan? Dalam polemik yang ada sekarang, sudah tentu jawapannya ialah tidak.

Tetap hormat fatwa negeri

Malangnya, oleh kerana ia dikendalikan oleh Sisters In Islam (SIS), maka pihak yang berasakan mereka lebih Islam berbanding SIS jadi melenting.

Memang dalam beberapa perkara, saya tidak bersetuju dengan pendirian SIS, seperti perjuangan "hak asasi" kumpulan LGBT. Untuk isu itu saya tak boleh bertentang mata dengan mereka.

Malah saya kesal kerana keterbukaan kerajaan disalahgunakan dan akan menyukarkan usaha PH untuk menjadikan Malaysia didiami masyarakat yang lebih demokratik berpandukan perlembagaan sedia ada.

Itu minus point untuk mereka.

Tetapi biarlah kita objektif dalam menilai. Kita serahkan kpd Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat peranan mereka dalam isu berkenaan.

Kerja mereka yang berdekad banyak menanam kesedaran kepada wanita tentang hak dalam rumahtangga. Memang mereka keras terhadap patriaki, tapi jangan lupa hasil perjuangan mereka (tanpa menafikan peranan NGO wanita lain), undang-undang keluarga Islam diperbaiki.

Dulu poligami tidak mengambil kira kepentingan dan kebajikan pihak isteri namun SIS berjaya mengetengahkan isu sehingga dibuat pindaan kepada undang-undang keluarga Islam.

Saya menghormati fatwa Selangor terhadap SIS. Namun saya difahamkan permintaan mereka untuk bersua muka tidak berhasil, dan mereka membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Ini maklumat yang saya ada sebelum PRU ke-14. Saya tidak tahu apa statusnya sekarang.

Kalau ada NGO wanita yang lebih Islamik melaksanakan program program perlindungan wanita dan membela wanita, silakan memohon sumbangan daripada kerajaan PH.

Mulakan dahulu program dan buktikan yang kita mampu melaksanakannya. Contoh yang baik untuk NGO Islam yang istiqamah dalam isu perlindungan wanita ialah Raudatul Sakinah yang digerakkan oleh wanita Ikram.

Mungkin ada lagi yang saya tak ketahui atau tidak pernah dengar tentang aktiviti mereka.

Yang memekak dan bising-bising membantah itu, adakah mereka memberikan khidmat talian kecemasan untuk wanita dalam kesusahan?

Jadi, jangan bising kalau kerajaan PH membantu NGO yang terbukti dalam kerja mereka. Fastabiqul khairat - itu yang Allah arah kepada kita.


DR SITI MARIAH MAHMUD ialah ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Adun Seri Serdang dan exco Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.