SPR: PH lakukan lebih banyak kesalahan kerana ia adalah k’jaan
Pakatan Harapan melakukan lebih banyak kesalahan pilihan raya atau pelanggaran etika semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih baru-baru ini berbanding pembangkang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.
"Nampaknya PH mempunyai kesalahan yang lebih tinggi kerana mereka adalah kerajaan dan berada dalam kerajaan, ada kesalahan yang mereka lakukan tidak boleh dilakukan oleh pembangkang.
"Antaranya adalah penyalahgunaan aset kerajaan, menyalahgunakan tugas menteri dan aktiviti kerajaan untuk meraih undi," katanya dalam satu temu bual dengan stesen radio BFM, semalam.
Azhar mengulas kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh gabungan parti pemerintah pada pilihan raya kecil baru-baru ini yang didapati lebih serius.
Katanya, ini kerana sebelum ini tiada siapa yang bercakap mengenai kesalahan-kesalahan berkenaan yang dilakukan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau turut menyindir parti-parti politik yang didakwa sering melanggar etika dan undang-undang pilihan raya.
"Saya fikir mereka sudah terbiasa dengan amalan itu," kata beliau.
Pada 8 Mac lalu, pemantau pilihan raya, Bersih mendakwa PRK Semenyih merekodkan kesalahan pilihan raya paling tinggi berbanding dengan lima PRK terdahulu sejak PRU ke 14.
PH didapati melakukan 21 kesalahan dan ini diikuti oleh BN dengan 13 dan satu kesalahan oleh sebuah organisasi yang tidak diketahui.
Daripada 35 kesalahan itu, lapan merupakan mengenakan pengaruh yang tidak wajar (oleh PH), lima berkaitan dengan pemberian hadiah atau penyediaan makanan kepada pengundi (juga oleh PH), dan dua mengenai keganasan, intimidasi dan gangguan (masing-masing oleh PH dan BN).
Pada PRK Cameron Highlands, 23 kesalahan dirakamkan - 14 dilakukan oleh BN, lima oleh PH dan dua oleh PAS.

