Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalaulah Statut Rom diratifikasi dari dulu lagi...
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 1:20 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin menegaskan kepentingan negara ini menyertai Statut Rom – perjanjian yang membentuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau percaya jika Malaysia melibatkan diri lebih awal, nasib mangsa kes penembakan jatuh Penerbangan Malaysia Airlines MH17 pada 2014 akan mendapat pembelaan sewajarnya.

"Apa pun jika Statut Rom diratifikasi sebelum tragedi berdarah MH17, berkemungkinan besar kejahatan ganas itu boleh didakwa sewajarnya di ICC," katanya.

Dalam insiden 17 Julai 2014, pesawat Boeing 777 MH17 ditembak semasa melintasi zon konflik di Ukraine Timur ketika dalam perjalanan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur.

Seramai 298 orang terbunuh, termasuk 43 orang rakyat Malaysia.

Perdebatan berkaitan isu itu timbul setelah Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa penyertaan Malaysia akan melemahkan Majlis Raja-raja Melayu.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan kerajaan jelas tidak menghormati institut Raja-raja Melayu.

Wisma Putra menafikan dakwaan itu, berdasarkan beberapa peruntukan perlembagaan, antaranya berkaitan bidang tugas dan kuasa baginda.

Menulis di Facebook, Hanipa berkata statut itu tidak melepaskan sesiapa sahaja, termasuk negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), malah rejim Israel.

"Sebab itu, misalnya negara yang berkuasa seperti AS atau Israel enggan meratifikasi Statut Rom.

"Bila mereka gentar dengan Statut Rom, logiknya Statut Rom ini lagi berkuasa nampaknya.

"Ratifikasi Statut Rom, bagi saya, tindakan yang betul dan tepat oleh negara ini," katanya.

Menulis di Facebook, Hanipa yang juga anggota parlimen Sepang berkata, membidas Umno dan BN yang didakwa tidak tetap pendirian.

"Dalam parlimen, saya biasa mendengar perbahasan dari pihak BN semasa berbahas RUU jenayah bahawa 'jika kita tak bersalah atau tak lakukan jenayah, buat apa kita takut?'

"Jujurnya, saya tak setuju dengan frasa atau ungkapan tersebut kerana, bagi saya, ia hujah oleh pihak yang keliru. That is not how any law should be opposed.

"Bagaimanapun, bagi tujuan diskusi Statut Rom, saya hairan kenapa sehingga kini saya tak dengar lagi mana-mana pemimpin BN atau sekutu baru mereka menggunapakai ungkapan tersebut? soal Hanipa.

ICC berkuat kuasa pada tahun 2002 sebagai mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat menyiasat dan mendakwa pihak disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius.

Kesalahan itu termasuk penghapusan etnik, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Lihat Komen
ADS