Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utusan terus dibidas kerana laporan pakaian istiadat di parlimen
Diterbitkan:  Mar 13, 2019 12:01 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa akhbar Utusan Malaysia memohon maaf mengenai laporan yang didakwanya tidak profesional dan mempunyai agenda tertentu.

Ini berikutan laporan akhbar tersebut yang hanya mensasarkan ahli parlimen bukan Melayu yang tidak berpakaian istiadat khas berwarna putih pada istiadat pembukaan penggal kedua majlis Parlimen ke-14 Isnin lalu.

"Laporan itu dengan sengaja melampirkan dua keping gambar saya bersut hitam yang diiringi bersama anggota Parlimen lain yang berpakaian istiadat.

"Dalam laporan Utusan yang seterusnya, akhbar tersebut menyiarkan penafian saya menerusi akaun Facebook saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Lim, turut menjadi sasaran adalah ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan.

Lim berkata, Utusan masih belum memberikan penjelasan berhubung laporan tersebut.

Katanya akhbar terbabit sengaja tidak menamakan wakil rakyat Melayu yang turut tidak berpakaian istiadat seperti ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah.

Berat sebelah, kata Raja Bahrin

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Raja Bahrin Shah turut mempertikaikan laporan Utusan itu yang disifatkan sebagai berat sebelah.

Raja Bahrin secara sinis mempersoalkan bagaimana Utusan tidak dapat mengesan wakil rakyat dari Umno dan PAS yang tidak berpakaian rasmi ketika itu, sedangkan mereka duduk di bahagian barisan hadapan.

"Saya bukan mempertikaikan tindakan ahli-ahli parlimen tersebut kerana kalau mereka betul-betul melanggar peraturan Parlimen, mereka akan ditegur dan mungkin tidak dibenarkan masuk Dewan oleh pegawai petugas Parlimen.

"Apa yang saya ingin juga persoalkan di sini adakan Utusan Malaysia menganggap isu pakaian yang tidak pun melanggar peraturan lebih penting dari kesopanan dan tertib adat berada di dalam Dewan semasa Tuanku Agung sedang bertitah?

"Ramai yang hadir di Parlimen pagi itu menyaksikan bagaimana ada sebahagian ahli-ahli Parlimen, terutamanya pembangkang bercakap-cakap dengan kuat semasa Tuanku Agung sedang membaca titah ucapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau juga mengkritik akhbar tersebut kerana tidak melaporkan ketidakhadiran dua pemimpin kanan Umno iaitu Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS