Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan inkuiri awam berhubung kematian S. Hendry, 18, semasa dalam tahanan di Simpang Renggam, tahun lalu.

Pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Hamdan Adnan berkata panel inkuiri itu terdiri daripada beliau sendiri, Datuk N. Siva Subramaniam dan peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Dua puluh saksi, termasuk polis, kakitangan penjara, anggota keluarga dan rakan, akan dipanggil memberi kenyataan di inkuiri tersebut yang akan diadakan di kelab rekreasi di Simpang Renggam pada 17 dan 18 Februari, katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Inkuiri itu, yang keempat sejak Suhakam ditubuhkan pada 2000, akan menentukan sama ada terdapat pelanggaran hak asasi manusia dalam kes berkenaan dan bagi suruhanjaya itu membuat perakuan.

"Setelah selesai, laporan akan dikeluarkan kepada orang ramai," katanya.

Menurut laporan Bernama, Prof Hamdan berkata, berdasarkan laporan, pada 19 November tahun lalu, Hendry ditemui mati dengan sehelai selimut di sekeliling lehernya di Pusat Tahanan Simpang Renggam, beberapa jam selepas dia dihantar ke sana.

Bedah siasat

Beliau berkata, dalam laporan sebuah akhbar tempatan pada 21 November, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Malik Abdul Harun dipetik sebagai berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut memandangkan laporan bedah siasat menunjukkan mangsa membunuh diri.

Peristiwa berikutnya membangkitkan persoalan berhubung sebab kematian Hendry terutamanya oleh bapanya H. Sreedhran, yang tidak percaya anak lelakinya itu membunuh diri, memandangkan pada 18 November, Hendry memberitahu bapanya supaya tidak bimbang tentang dirinya.

Sreedhran membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Brickfields pada 6 Disember yang menyatakan beliau berasa syak dengan kematian Hendry kerana melihat calar-calar pada kepala, muka dan beberapa bahagian badan anaknya.

Sehingga kini, anggota keluarga Hendry masih belum menerima sebarang laporan daripada polis atau Jabatan Penjara di Simpang Renggam, katanya.