Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas 'sanding', Mohd Amar kata PAS-Umno 'baru main mata'

Selepas lebih seminggu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengumpamakan hubungan partinya dengan PAS sebagai pada tahap "bersanding", Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah hari ini pula mempunyai perumpamaan berbeza.

Mengulas tentang kerajaan campuran seperti dicadangkan Mohamad, timbalan menteri besar Kelantan itu berkata hubungan Umno dan PAS masih di peringkat "bermain mata".

Justeru, kata Mohd Amar,  masih terlalu awal dan belum ada keperluan untuk kerajaan campuran PAS-Umno di empat negeri yang ditadbir dua parti itu.

"Sekarang terlalu awal untuk membentuk kerajaan campuran memandangkan hubungan PAS dan Umno belum tiba tahap 'merisik' pun lagi, baru peringkat 'bermain mata'.

"Pada masa sekarang, parti perlu menumpukan untuk menjadi pasukan pembangkang yang lebih baik, gagah dan berkesan," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Empat negeri yang dimaksudkan ialah Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS, serta Pahang dan Perlis yang ditadbir BN.

Mohamad sebelum ini mencadangkan agar PAS dan Umno membentuk kerajaan campuran di empat negeri itu sebagai usaha seterusnya dalam mengukuhkan agenda perpaduan ummah.

Namun, Mohd Amar hari ini berkata kerajaan sedia ada di empat negeri itu wajar dikekalkan sehingga habis penggal tanpa pembentukan kerajaan campuran.

Tambah Mohd Amar, cadangan itu hanyalah hasrat Mohamad dan tidak pernah dibincangkan kedua-dua parti.

"Kerajaan campuran hanya pandangan awal dan cadangan beliau saja. Kami (PAS) belum bincang lagi memandangkan kita ketika ini memberi tumpuan kerjasama di peringkat pilihan raya kecil (PRK) termasuk di DUN Rantau.

"PAS dan Umno lebih kepada peringkat ta'awun (tolong menolong) dalam PRK belum sampai peringkat tahaluf (perjanjian). Ia memerlukan perbincangan dan proses yang panjang sebelum sebarang keputusan," ujarnya.

Hanya cadangan awal

Sementara itu tambah beliau, satu jawatankuasa bersama sudah dibentuk untuk membincangkan berhubung kerjasama membabitkan dua parti itu.

"Menerusi jawatankuasa ini, kita akan bincang keperluan sebelum diangkat kepada parti dan dibawa ke muktamar untuk diputuskan," katanya yang juga Adun Panchor. 

Pada 5 Mac lalu, Mohamad dalam sidang media selepas lebih dua setengah jam perjumpaan pemimpin PAS dan Umno mengibaratkan perjumpaan itu sebagai "persandingan" antara kedua-dua parti itu.

Mohamad berkata, hubungan PAS dan Umno bermula sebelum PRK Semenyih berakhir lagi.

Katanya, proses menghantar cincin - seperti 'merisik' - berlaku di PRK Sungai Kandis, sementara 'bertunang' di Seri Setia.

"Sekarang ni kita dah kenduri kahwin dah ni, dah rasmi dah. Sebab tu kita buat macam ni, (secara) rasminya... merasmikan jawatankuasa induk," kata Mohamad ketika itu.

Lihat Komen
ADS