K’jaan tidak tentukan ‘turun dan naik’ dalam pasaran saham - Lim
Kerajaan tidak mengawal pergerakan dalam pasaran saham tetapi faktor penawaran dan permintaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata turun naik dalam pasaran saham merupakan situasi normal dan bergantung kepada keadaan pasaran di peringkat domestik dan global.
“Asas kita kukuh jika dilihat kepada angka dari segi kadar pertumbuhan, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merosot, tahap eksport dan lebihan dagangan yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan Bank Pembangunan di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang menyatakan pasaran saham Malaysia adalah satu-satunya di Asia yang susut setakat tahun ini.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2018. Pada Isnin, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang mengunjurkan kadar pertumbuhan yang sama bagi 2019, turut memuji ekonomi negara yang berdaya tahan.
Inflasi Malaysia, seperti yang diukur oleh IHP, susut 0.7 peratus pada Januari 2019 berbanding tahun sebelumnya. Penurunan itu merupakan yang pertama sejak November 2009 apabila IHP merosot 0.1 peratus.
Beliau berkata menambah kepada angka yang menggalakkan itu ialah data pelaburan langsung asing (FDI) negara yang akan dikeluarkan esok.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, pasaran saham Malaysia adalah satu-satunya di Asia yang susut setakat tahun ini, dengan petunjuk pasaran indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot lebih satu peratus setakat ini pada 2019.
Laporan itu menyatakan trend tersebut dijangka tidak berubah dengan pelabur menunggu inisiatif kerajaan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet, membanteras rasuah dan meningkatkan kuasa beli.
Mengenai Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan, katanya dana bernilai RM1 bilion itu akan menyokong usaha-usaha untuk melaksanakan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau berkata dana tersebut menawarkan pinjaman dengan tempoh sehingga lima tahun bagi perbelanjaan mengurus dan sehingga 15 tahun bagi perbelanjaan modal.
"Pemohon yang berjaya akan menikmati subsidi faedah dua peratus," katanya.
Beliau berkata perniagaan yang layak memohon dana itu perlu daripada sektor infrastruktur, maritim, teknologi serta minyak dan gas dengan pelan untuk menyesuaikan strategi dan proses operasi mereka selaras dengan sekurang-kurangnya satu daripada SDG.
Dilancarkan pada 2016, SDG meliputi isu-isu pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar yang termasuk kemiskinan, kebuluran, kesihatan, pendidikan, kesaksamaan gender, air bersih, sanitasi, tenaga mampu milik, urbanisasi, pemanasan global, alam sekitar, keadilan sosial dan keamanan.
- Bernama

