Umat Islam Malaysia desak Denmark minta maaf
Kira-kira 10,000 umat Islam berhimpun secara aman di perkarangan kedutaan Denmark di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan mereka terhadap penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.
Kira-kira 10,000 umat Islam berhimpun secara aman di perkarangan kedutaan Denmark di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan mereka terhadap penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.
Sebelum itu, mereka berarak dari Masjid Kampung Baru menuju ke bangunan kedutaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ, menyebabkan laluan di kawasan berkenaan sesak teruk.
Polis menggunakan helikopter untuk memantau orang ramai yang menghadiri perhimpunan aman berkenaan.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh PAS tetapi turut disertai oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pelajar pusat pengajian tinggi.
Beberapa pemimpin utama PAS - Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub serta Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Amin Baharon serta wakil pelajar menyertai perarakan dan berucap di perhimpunan tersebut.
Mereka memberi amaran, bantahan yang lebih besar akan digerakkan di seluruh negara jika kerajaan Denmark tidak mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Pemimpin PAS sanggup mati untuk mempertahankan agama mereka dan kami memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengulangi kebiadapan tersebut," kata Salahuddin.
Kebebasan akhbar
Beliau berkata, perkara asas yang perlu dibuat oleh kerajaan Denmark ialah memohon maaf di atas kebiadapan akhbar mereka menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w.
"Walaupun penyiarannya tersebut kononnya atas nama kebebasan akhbar tetapi ia ada had sempadannya dan tidak boleh menghina agama lain," katanya ketika ditemui di perhimpunan tersebut.
Salahuddin berkata, beliau bimbang jika isu itu tidak diselesaikan segera, api kemarahan umat Islam terhadap kerajaan Denmark dan negara-negara Barat, akan menjadi lebih buruk.
Katanya, PAS mengikuti rapat perkembangan tersebut dan langkah susulan akan diambil berdasarkan perkembangan semasa.
Abdul Hadi pula berkata, umat Islam menentang sebarang bentuk kebebasan yang menghina orang lain.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam mempertahankan agama mereka termasuk Nabi Muhammad.
Tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang perhimpnan selama kira-kira sejam itu.
Para penunjuk perasaan membawa kain rentang dan sepanduk sambil melaung-laungkan slogan anti-Denmark dan Barat.

