Jho Low nafi beri sumbangan untuk Trump
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, menafikan dia memberikan sumbangan AS$100,000 kepada badan yang berkempen untuk Presiden AS, Donald Trump.
Dalam satu kenyataan yang dihantar peguamnya, Robin Rathwell, Low percaya bahawa dakwaan yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal (WSJ) adalah "palsu dan tidak berasas."
Rathwell menambah, WSJ telah dimaklumkan berkenaan perkara itu sebelum menyiarkan artikel tersebut.
"Low menafikan memberikan sebarang sumbangan yang disebut dalam artikel WSJ tersebut.
"Low juga tidak pernah terlibat dalam sebarang perjanjian dan/atau membayar (atau membenarkan pembayaran) kepada entiti yang dirujuk dalam artikel WSJ, yang mengatakan dia memberikan dana politik," kata kenyataan yang dikeluarkan melalui syarikat perhubungan awam Wells Haslem Mayhew.
WSJ hari ini melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman AS (DOJ) sedang menyiasat sama ada Low - lebih dikenali sebagai Jho Low - secara tidak langsung terlibat dalam dana AS$100,000 yang diterima oleh jawatankuasa Trump Victory.
Jawatankuasa Trump Victory itu ialah badan yang berkempen untuk Trump dalam usahanya mengekalkan kedudukan sebagai presiden buat penggal kedua.
Pilihan raya presiden AS akan diadakan pada 2020. Untuk rekod mengikut peraturan yang ada sekarang, seseorang ahli politik hanya dibenarkan menjadi presiden selama dua penggal saja.
Sumbangan tersebut didakwa diberikan kepada jawatankuasa tersebut oleh seorang warganegara AS, Larry Davis pada Dis 2017.
Baca Jho Low disyaki sumbang dana untuk kempen Trump
Tujuh bulan sebelum sumbangan itu diberikan, syarikat pelaburan Davis, LNS Capital, menerima pindahan wang sebanyak AS$1.5 juta daripada Low.
Bagaimanapun, Rathwell menegaskan bahawa Low "tidak pernah mendengar" nama Davis atau LNS.
Laporan WSJ pula menyatakan pihak Low menghantar e-mel susulan beberapa minit kemudian dan ahli perniagaan yang dikehendaki polis Malaysia itu meminta agar kenyataan terdahulu diabaikan.
Katanya kenyataan pertama dibuat untuk pihak peguam.
Mengulas mengenainya peguam Low berkkata: "Mengecewakan apabila WSJ memilih untuk mengabaikan kelebihan perundangan dan menyiarkan satu e-mel yang jelas dihantar secara silap."

