Ketua Pengarang Sarawak Tribune letak jawatan
Pengarang Kumpulan akhbar Sarawak Tribune , Toman Mamora meletakkan jawatan hari ini berikutan penggantungan permit penerbitan akhbar berkenaan kerana menyiarkan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.
Pengarang Kumpulan akhbar Sarawak Tribune , Toman Mamora meletakkan jawatan hari ini berikutan penggantungan permit penerbitan akhbar berkenaan kerana menyiarkan karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.
Pengarah Eksekutif syarikat tersebut, Polit Hamzah, mengesahkan telah menerima surat perletakan jawtan Toman pagi tadi.
Perletakan jawatan Toman itu memang dijangka walaupun beliau dan penasihat akhbar berkenaan Datuk Idris Buang telah meletakkan kesalahan penyiaran karikatur itu terhadap pengarang berita, Lester Melanyi.
Lester, 41, telah mengaku bertanggungjawab dan memohon maaf terhadap apa yang disifatkannya sebagai kelalaiannya dan terus meletakkan jawatan.
Bagaimanapun beberapa hari kemudiannya, Melanyi berkata, beliau telah diarah berhenti oleh pihak pengurusan akhbar berkenaan. Beliau juga mendakwa telah mendapatkan kelulusan untuk menyiarkan karikatur tersebut daripada Toman, sebelum halaman tersebut dihantar untuk cetakan.
Toman bagaimanapun, telah menafikan dakwaan tersebut. Dalam satu kenyataan mengumumkan perletakan jawatannya itu, Toman berkata, beliau akan mempertahankan integriti dan maruahnya daripada tuduhan seumpama itu.
Katanya, Melanyi bertindak bersendirian dan tanpa pengetahuan editor atasan Sarawak Tribune , termasuk beliau sendiri.
Karikatur asalnya telah disiarkan dalam akhbar Denmark September lalu dan baru-baru ini telah mencetuskan bantahan di dunia Islam. Menurut Melanyi, penyiaran semula karikatur itu bertujuan untuk "menjelaskan" kepada pembaca mengenai kemarahan yang tercetus di dunia Islam.
Sarawak Tribune, akhbar tertua di negeri itu, dimiliki oleh Sarawak Press Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan kepentingan perniagaan keluarga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud.
Siasatan polis
Sementara itu, Bernama melaporkan, pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak ACP Abdul Samah Mat telah ditugaskan untuk menyelia pasukan siasatan kes penyiaran semula karikatur tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Talib Jamal berkata hari ini pasukan itu sedang melakukan siasatan terperinci yang meliputi pelbagai aspek berhubung kes itu.
"Kita telah melantik pegawai yang berpengalaman untuk mengetuai pasukan siasatan ini dari pelbagai aspek. Ia akan diselia oleh Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah yang baru. Ini merupakan tugas besar pertama beliau," kata Talib kepada pemberita.
Talib berkata polis buat kali kedua telah mengambil keterangan daripada bekas pengarang berita akhbar itu, Lester Melanyi, 41, semalam. Lester disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ditanya mengenai mereka yang akan dipanggil untuk diambil keterangannya, Talib berkata: "Itu kita tidak boleh cakap. Berilah peluang kepada polis untuk menjalankan siasatan dahulu."
Satu pengajaran
Manakala Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Prof Datuk Hamdan Adnan pula berkata, Penggantungan permit penerbitan
Sarawak Tribune
kerana menyiarkan semula karikatur kontroversi menghina Nabi Muhammad itu merupakan tindakan paling wajar oleh kerajaan untuk memelihara keselamatan negara.
Beliau berkata, mengekalkan keharmonian kaum dalam negara ini merupakan keutamaan paling tinggi berbanding kebebasan bersuara.
Tindakan itu bertujuan untuk memelihara hubungan rapat yang sudah lama terjalin di kalangan rakyat Malaysia dengan perbezaan latar belakang bangsa, agama dan budaya, katanya kepada pemberita semasa mengulas keputusan kerajaan itu.
Hamdan berkata, walaupun Article 19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia, jelas menyatakan mengenai hak kebebasan bersuara, pengamal media harus menggariskan dengan jelas tentang apa yang patut disiarkan.
"Semua pertubuhan media di Malaysia patut lebih berhati-hati dalam membuat laporan terutama berhubung perkara agama," katanya.
Pengamal media harus sentiasa ingat mereka berurusan dengan perkara sensitif, yang jika tidak ditangani dengan betul, boleh menggugat keselamatan negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.