Kerajaan sedang meneliti tahap keseriusan pencemaran akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim sebelum membuat keputusan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata tinjauan akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah itu.

“Saya akan ke Pasir Gudang petang ini untuk melihat sendiri keadaan semasa dan bagaimana situasinya...

“Kita akan bermesyuarat dahulu untuk kita fikirkan kerana kita juga ada langkah-langkah (selain pengisytiharan darurat) yang boleh kita tangani masalah itu.

“Kita nak isytihar darurat, jadikan ia satu ‘panic attack’ pun tak boleh juga. Kita kena menimbangkan untuk menangani masalah itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kes itu masih di tahap negeri dan belum merebak ke peringkat nasional, justeru ia harus diperinci terlebih dahulu.

“Untuk isytiharkan darurat itu kita akan adakan mesyuarat terlebih dahulu dan kita akan fikirkan langkah-langkah untuk menangani masalah itu,” katanya.

Setakat ini, seramai 947 orang menerima rawatan termasuk 82 individu dirawat di wad Hospital Sultan Ismail (HSI); 85 orang di wad Hospital Sultanah Aminah; 39 orang (wad KPJ Pasir Gudang), tiga orang (wad Regency Hospital) dan lapan orang (Unit Rawatan Rapi HSI).