Kerajaan tiada hasrat untuk menyaman Goldman Sachs Group Inc atau pihak lain berhubung dana yang diambil dari 1MDB, di AS.

Ini demikian kerana kerajaan ingin menumpukan pada prosiding berkaitan kes itu yang sedang berlangsung dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Liew berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang bertanya sama ada kerajaan mahu menyaman atau mengambil tindakan undang-undang di AS terhadap Goldman Sachs atau pihak lain bagi mendapatkan semula dana yang hilang dalam transaksi 1MDB.

Dalam jawapannya, Liew berkata peguam negara sudah memfailkan dakwaan jenayah terhadap syarikat subsidiari Goldman Sachs dan bekas kakitangan bank itu, Tim Lessner dan Roger Ng, ahli perniagaan Low taek Jho atau Jho Low yang kini dalam buruan, serta bekas kakitangan 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Goldman Sachs ketika ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) kerana didakwa menguruskan tiga bon jualan bernilai AS$6.5 billion (RM26.5 billion) bagi 1MDB.

Leissner dan Ng didakwa di AS tahun lalu berhubung skandal 1MDB.

[Baca berita asal]