Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Bakal meninggalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noor Rashid Ibrahim menitiskan air matanya ketika memberi ucapan terakhir sebagai timbalan ketua polis negara hari ini.

Berucap di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, Noor Rashid mengenang kembali hari pertamanya menjejakkan kaki ke sana, lebih 35 tahun lalu.

"Saya cuba mengawal emosi saya tapi pagi ini saya begitu sebak. Apabila saya melalui padang kawad, dan saya melihat jumlah begitu besar pegawai dan anggota yang masih berlatih.

"Ini menandakan satu penghormatan begitu besar bagi saya dan pelajar saya. (Ia) satu yang tak pernah saya impikan (bayangkan) sebelum ini," katanya.

Beliau merujuk pegawai dan anggota polis yang menunggu ketibaannya seawal pagi tadi sebelum mengiringinya ke Dewan Tan Sri Abdul Khalid - di mana majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara diadakan.

"Saya sangat emosi. Saya cuba kawal. Saya fikir saya kuat tapi sekarang baru saya tahu, bila saat sebegini, saya jadi sangat emosi," katanya sambil mengesat air mata.

Noor Rashid, 61, secara rasmi bersara pada 17 Mac ini. Jawatan itu kini dipangku Ahmad Hamid Bador yang sebelum ini mengetuai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Sebelum menjadi timbalan ketua polis negara pada 2014, beliau merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Berasal dari Yan, Kedah, beliau mula berkhidmat sebagai penolong penguasa polis. Antara jawatan yang pernah dipegangnya ialah Ketua Siasatan Jenayah Daerah Sungai Petani, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Menceritakan perancangannya selepas ini, Noor Rashid berkata beliau mahu bercucuk tanam dan menulis tentang pengalamannya dalam pasukan itu serta pengorbanan polis.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pegawai yang ada bersama saya, bekerjasama, yang sedia menerima teguran dan nasihat daripada saya. Kadang-kadang saya dikenali sebagai seorang yang keras dan tegas tapi ia untuk kamu semua dan pasukan.

"Saya nak lihat pegawai PDRM mampu berhadapan dengan cabaran. Saya mahu kamu dihormati," katanya.

Lihat Komen
ADS