BERITA Malaysiakini

Kes rasuah Rosmah dipindah ke mahkamah tinggi

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi membabitkan dua tuduhan rasuah yang dihadapi isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan, yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan peguam Rosmah, Jagjit Singh.

Terdahulu Sri Ram berkata pihak pendakwaan memohon memindahkan kes Rosmah ke Mahkamah Tinggi kerana mahu dibicarakan bersama-sama dengan kes membabitkan Rizal Mansor kerana pertuduhan itu mempunyai asas tuduhan sama.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang lebih luas untuk mendengar kes itu berbanding Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, peguam Jagjit Singh membantah permohonan pendakwaan itu dengan menyatakan kes Rosmah harus didengar di Mahkamah Sesyen kerana terdapat banyak mahkamah di sini yang khusus dalam kes rasuah.

"Di sini di Mahkamah KL, kita mempunyai tiga mahkamah yang khusus dalam kes rasuah dan hakim yang berpengalaman, jadi kenapa harus memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi? Kenapa perlu jalankan perbicaraan bersama (Rosmah dan Rizal), sedangkan mereka didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen,” katanya.

Pada 15 Nov tahun lepas, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Pada tarikh sama di mahkamah berasingan, Rizal, 46, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi dirinya dan Rosmah, berjumlah RM5.5 juta, membabitkan bekalan peralatan dan pemasangan sistem hibrid solar untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama