Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin bidas senator Australia: Jangan tiup kebencian
Diterbitkan:  Mar 15, 2019 10:47 PM
Dikemaskini: 2:47 PM

Senator Australia Fraser Anning perlu menujukkan rasa ihsan dan simpati terhadap peristiwa serangan keganasan pelampau kanan terhadap Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohammed Azmin Ali.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Azmin berkata Anning memilih untuk meniupkan prasangka dan kebencian terhadap Islam dan penganutnya serta bukan mengutuk tindakan keganasan tersebut.

"Kenyataan Senator Australia Fraser Anning menyalahkan kejadian serangan tembakan di Christchurch berakibat daripada masalah penghijrahan pendatang dan agama Islam merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima serta tidak logik.

"Sementara ramai pihak bersedih dan menyuarakan simpati terhadap keluarga dan orang tersayang kepada mangsa jenayah keganasan kebencian yang amat kejam ini, namun kenyataan senator Anning suatu yang tidak sensitif, tak wajar dan rasis," kata Azmin.

Azmin menggesa rakyat Malaysia untuk mengecam Anning atas kenyataan itu.

Anning berkata serangan terhadap jemaah solat Jumaat di masjid Christchurch, yang menewaskan sekurang-kurangnya 49 nyawa, mencerminkan kekhuatiran Australia dan New Zealand terhadap peningkatan pendatang orang Islam.

"Seperti biasa, ahli politik sayap kiri dan media akan tergesa-gesa untuk mendakwa punca penembakan hari ini terletak pada undang-undang senjata atau kepada pihak-pihak yang memegang pendirian nasionalis tetapi ini semua tidak masuk akal.

"Sebab sebenar pertumpahan darah di jalan-jalan New Zealand hari ini paling penting berpunca daripada program imigresen yang membolehkan penganut fanatik Islam untuk berhijrah ke New Zealand," katanya.

Kenyataan ini telah dikutuk secara meluas dalam masyarakat Australia.

Anning yang juga terkenal dengan ucapan kontroversinya merupakan bekas anggota parti One Nation.

Terdahulu Azmin dalam ciapannya di Twitter berduka cita terhadap kejadian serangan itu dan mengecam jenayah keganasan dan ekstremisme.

"Berdukacita di atas penemuan 49 korban dan 2 rakyat Malaysia yang cedera akibat tragedi berdarah di Christchurch. Saya mendoakan kesemua mangsa korban tragedi ini mendapat husnul khatimah dan dikurniakan ganjaran syahid oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

"Seluruh rakyat Malaysia mengecam keras jenayah keganasan dan ekstremisme yang berlaku di Christchurch. Siasatan dan tindakan segera harus dilaksanakan dengan tegas untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan," katanya.

Lihat Komen
ADS