BERITA Malaysiakini

Pasir Gudang: Darurat atau tidak?

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

KINIGUIDE | Ketika kejadian pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang timbul sejak minggu lalu, cadangan mengisytiharkan kawasan itu sebagai kawasan darurat mula kedengaran tetapi tidak menjadi kenyataan.

Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menimbulkan isu itu dengan menggesa kerajaan mengumumkan darurat semasa perbahasan parlimen pada Khamis.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof membenarkan usul dibawa Hassan dibahaskan pada hari yang sama tanpa undian, tetapi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tidak perlu mengisytiharkan darurat.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang dan bagaimanakah darurat boleh mengubah banyak perkara? Ini adalah topik dalam Panduankini kali ini.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang?

Selepas kakitangan dan murid di dua buah sekolah di daerah itu mengalami kesan akibat bahan kimia terbabit, punca bahan kimia itu dikenalpasti dibuang secara haram di bawah jambatan di sepanjang Sungai Kim Kim.

Bahan kimia berkenaan digambarkan sebagai hitam dan berminyak. Akhbar Singapura, Straits Times memetik seorang penyiasat yang tidak dinamakan berkata ia dikenalpasti sebagai sisa minyak marin yang digunakan untuk melincirkan enjin kapal.

Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, ujian yang dijalankan oleh unit bahan berbahaya telah menemui metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein dan benzena.

Di samping itu, beliau berkata sampel diambil dari Sungai Kim Kim oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan pelarut organik benzena, toluena, xilena, etilbenzena, dan d-limonene. Bagaimanapun, beliau tidak mengatakan sama ada bahan kimia yang terdapat dalam sampel JAS juga dikesan di tapak pembuangan haram itu.

Siapa yang terjejas?

Insiden itu mula dikesan berlaku pada 7 Mac apabila pelajar dan kakitangan di SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih mengadu kesukaran bernafas, mual, muntah dan bau yang tidak menyenangkan.

Sekurang-kurangnya 79 orang mendapatkan rawatan pada hari itu yang mana 47 orang ditahan termasuk enam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Keesokan harinya, warga di sekolah yang sama dan dua sekolah lagi mengadu tentang gejala yang sama. Kedua-dua sekolah yang terlibat ialah SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort.

Sekolah-sekolah berkenaan dibuka semula pada 11 Mac apabila keadaan kelihatan bertambah baik, tetapi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata reaksi kimia daripada operasi pembersihan menyebabkan peningkatan dari segi jumlah mangsa.

Setakat 4 petang pada hari Khamis, 1,906 orang mendapatkan rawatan kerana terdedah dengan bahan kimia dan 390 orang dimasukkan ke wad. Daripada jumlah ini, 10 orang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Di samping itu, kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang telah ditutup sehingga notis seterusnya dikeluarkan, termasuk 64 buah prasekolah.

Apa yang sedang dilakukan?

Pengurusan bencana ketika ini dijalankan oleh kerajaan Johor melalui Jawatankuasa  Pengurusan Bencana Neegeri.

Menurut Nadma, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Jabatan Saliran dan Pengairan telah memulakan operasi pembersihan di tapak pembuangan dan mengeluarkan 2.43 tan bahan kimia dan tanah yang tercemar.

Bagaimanapun, kerja-kerja dihentikan sementara pada keesokan harinya sehingga kontraktor yang berkelayakan dilantik kerana difahamkan bahawa bahan kimia itu dijadikan bahan buangan yang perlu dilupuskan dengan cara yang lebih baik.

Yeo memberitahu Dewan Rakyat pada Khamis bahawa terdapat empat kontraktor yang dilantik untuk membersihkan tapak pembuangan itu.

Menurut Nadma, agensi lain yang menjalankan operasi di kawasan itu termasuk polis, Hazmat, 12 skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja, JAS dan banyak lagi.

Ia berkata kerajaan persekutuan berkongsi kos operasi pembersihan dengan kerajaan negeri dan setiap keluarga yang terjejas akan diberi bantuan kewangan.

Sementara itu, kerajaan Johor memperuntukkan RM6.4 juta untuk operasi pembersihan, manakala kerajaan persekutuan memperuntukkan RM8 juta.

Bagi rawatan perubatan, pusat perubatan sementara telah dibina di dewan orang ramai di Taman Pasir Putih.

Isytihar darurat?

Dalam konteks pengurusan bencana, mengisytiharkan darurat melibatkan Fasal 42 Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara yang berkaitan dengan dasar dan mekanisme pengurusan bencana.

Arahan itu mentakrifkan darurat bencana sebagai "bencana besar yang melibatkan kehilangan banyak nyawa, pemusnahan harta benda, ancaman terhadap keadaan sosial, ekonomi dan politik, dan (ancaman) keselamatan dan ketenteraman awam".

Fasal 42 (i) menetapkan bahawa darurat bencana boleh diisytiharkan oleh perdana menteri jika difikirkan perlu atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Persekutuan.

Fasal 42 (ii) menetapkan bahawa apabila darurat bencana diisytiharkan, kerajaan persekutuan akan mengambil alih pengurusan bencana, bantuan bencana dan operasi pemulihan. Ini termasuk kos kewangan.

Tidak disebutkan perkara lain mengenai darurat bencana melibatkan Arahan 20.

Untuk kejelasan, darurat bencana yang diisytiharkan di bawah Arahan 20 tidak berkaitan dengan kuasa darurat Yang Di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, yang digunakan bagi menangkis ancaman terhadap keselamatan negara.

Apakah hujah yang menyokong darurat diisytiharkan?

Hassan berhujah sekiranya keadaan darurat diisytiharkan, ia akan meningkatkan penyelarasan antara pelbagai agensi dan membolehkan lebih banyak sumber diperuntukkan.

Apakah hujah-hujah menentang perisytiharan darurat?

Mahathir berkata keadaan masih terkawal. Sebelum itu, timbalannya, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan kebimbangan pengumuman darurat boleh membawa kepada "serangan panik".

Timbalan Menteri undang-undang, Hanipa Maidin berkata walaupun darurat tidak diisytiharkan, bencana itu ditangani dengan segera dan kerajaan negeri masih mengawal keadaan.

Apakah contoh darurat bencana?

Perdana menteri yang lepas Najib Razak mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang pada tahun 2013 disebabkan jerebu yang teruk dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (API) melebihi 750. Beliau berkata pada masa itu bahawa ia tidak melibatkan perintah berkurung.

Sebaliknya, semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu di peringkat persekutuan, negeri dan daerah mesti merancang dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan awam dilindungi.

Pendahulu beliau, Abdullah Ahmad Badawi juga mengisytiharkan darurat disebabkan jerebu teruk di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada tahun 2005.

Ini melibatkan penutupan semua pejabat kerajaan dan swasta dan tempat kerja di kawasan yang terjejas. Namun kedai yang menjual makanan dan minuman termasuk pasar dan pasar raya, klinik dan farmasi serta mereka yang menyediakan perkhidmatan penting dikecualikan.

Bagaimana bahan kimia ini membahayakan?

Metana tidak bersifat toksik tetapi mudah terbakar. Menurut kenyataan akhbar Nadma pada Khamis, kepekatan kimia di tapak pembuangan di Pasir Gudang adalah serendah 0.96 part per million (ppm).

Hidrogen klorida adalah gas yang membentuk asid yang sangat menghakis apabila ia menyentuh kelembapan. Ini termasuk kelembapan yang terdapat pada kulit, mata dan di saluran pernafasan termasuk paru-paru.

Oleh itu, pendedahan kepada bahan kimia ini boleh menyebabkan kerengsaan atau menjejaskan organ termasuk kemungkinan kecacatan kekal (seperti buta) atau kematian.

Nadma melaporkan kepekatannya menjadi 1.63 ppm di lokasi yang terjejas tetapi tidak menyebut tahap yang dianggap dibenarkan. Sebagai perbandingan, AS menetapkan had pada 5 ppm dalam persekitaran kerja.

Acrylonitrile diklasifikasikan sebagai "karsinogen yang mungkin" oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (berbanding "kemungkinan karsinogen" atau "karsinogenik").

Asapnya juga boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit, mata dan sistem pernafasan. Nadma berkata kepekatan 7.33ppm dikesan, berbanding paras 2 ppm yang dibenarkan dan tahap bahaya sebanyak 8.5 ppm.

Acrolein memiliki bahaya paling tinggi daripada lima bahan kimia yang terdapat di tapak pelupusan itu. Kepekatan yang ditemui adalah 5.29 ppm, manakala pengawal selia menganggap 2 ppm cukup untuk menimbulkan Bahaya Segera Kepada Kehidupan dan Kesihatan (IDLH). Tahap yang dibenarkan dalam persekitaran kerja hanyalah 0.1 ppm.

Daripada lima bahan kimia berbahaya yang terdapat di tapak pembungan itu, hanya satu yang melebihi tahap IDLH. Ia boleh menyebabkan kerengsaan teruk, sembap paru-paru (edema pulmonari) dan melepuh.

Sedutan terhadap Benzene boleh menyebabkan rasa mengantuk, pening, kadar denyut jantung yang cepat, sakit kepala, kekeliruan dan tidak sedarkan diri dalam jangka pendek. 

Dalam jangka masa panjang, benzena diketahui menyebabkan leukemia dan menjejaskan perkembangan janin.

Nadma berkata ia dikesan dalam kepekatan 1.87 ppm, berbanding tahap 1 ppm di Sungai Kim Kim.

Topeng jerebu selamat?

Tidak. Sekurang-kurangnya anda memerlukan respirator yang direka untuk melindungi pemakainya daripada wap dan kemungkinan gas berasid juga bergantung kepada kepekatan hidrogen klorida di lokasi anda.

Topeng yang biasa digunakan di Malaysia semasa musim jerebu adalah topeng bedah yang direka untuk mencegah penyebaran penyakit berjangkit atau respirator N95 yang direka untuk menapis udara.

Kedua-duanya tidak memberi sebarang perlindungan kepada bahan kimia yang terdapat di Sungai Kim Kim.

Adalah lebih baik untuk mengelakkan kawasan yang terjejas sepenuhnya dan mencari perlindungan segera jika anda terbau bahan kimia yang berbeza.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad menggesa orang ramai untuk berada sekurang-kurangnya lima kilometer daripada sungai tercemar.


PANDUANKINI ini disusun oleh Koh Jun Lin.