Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam memutuskan Muktamar Tahunan PAS tahun ini akan diadakan di Kedah pada 7, 8 dan 9 Jun ini.

Keputusan ini dimaklumkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat JK PAS Pusat di sebuah hotel di Ipoh semalam.

Ini adalah amalam biasa PAS apabila mengadakan muktamarnya di luar Kuala Lumpur untuk tahun yang tidak ada pemilihan kecuali tahun lepas apabila muktamar yang ada pemilihan diadakan di Kota Bharu. Itupun kerana masalah teknikal yang berlaku di Markas Tarbiyah PAS Kuala Lumpur.

Menurut laporan Harakahdaily.net, muktamar ini akan diadakan di Kompleks PAS Kedah yang sedang aktif dipersiapkan sekarang.

Sementara itu, Presiden PAS turut melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan kebanyakan media Malaysia yang tidak menyiarkan demontrasi yang dianjurkan

PAS bagi membantah penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad s.a.w.

"Kerana tindakan ini maklumat tidak sampai secara sempurna kepada rakyat," katanya. PAS bersama NGO Islam yang lain menganjurkan demo dan perarakan membantah langkah penyiaran kartun yang menghina Nabi oleh sebuah akhbar Denmark pada 10 Februari lalu.

Hampir 10,000 menyertai demontrasi itu tetapi tidak mendapat liputan media negara ini.

"Sedangkan media luar negara termasuk CNN, BBC dan lain-lain membuat liputan,tetapi media di negara ini menutup perkara ini," katanya.

"Kita meminta kerajaan negara ini yang Perdana Menterinya Pengerusi OIC agar menekan Denmark dan negara-negara lain agar jangan sekali-kali mengulangi perkara ini," katanya.