Paling Popular
Terkini
story images
story images

“Tuhan dah takdirkan kita macam ini. Kita tak boleh nak salahkan siapa-siapa," kata Fakhri Affandi, 46 seorang pengurus operasi yang reda dengan ketentuan Ilahi selepas anaknya disahkan menghidap autisme hampir 10 tahun lalu.

Bapa mana yang mahu melihat buah hati kesayangan memiliki kekurangan namun baginya, itu adalah ujian yang diberi tuhan.

Pada awalnya kehadiran Nouri, 11 sebagai permata keluarga membawa kegembiraan tidak terhingga kepada Fakhri dan pasangan sehinggalah mereka merasakan keanehan kepada tingkah laku anaknya itu.

“Kami perhati yang Nouri bersikap pelik kerana tidak bergaul dengan sepupunya, serta sering khayal dan gelak sendirian," katanya kepada Malaysiakini.

Lantas atas desakan sanak saudara dan sahabat taulan, Fakhri membawa Nouri ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Masih segar dalam ingatan Fakhri ketika mula mengetahui anak kesayangan itu menghidap autisme seawal usia dua tahun, seolah-olah seperti semalam kejadian itu berlaku.

“Saya mengambil masa setahun untuk menerima kenyataan bahawa anak saya tidak sama seperti yang lain,” luahnya.

Namun lama-kelamaan, Fakhri mula membiasakan diri dan banyak mengkaji serta meluangkan masa untuk menangani kelakuan tidak terduga daripada anak autisme.

“Saya mula membuat kajian mengenai autisme dan cara-cara menjaga anak tersebut,” jelas Fakhri ketika ditemui di majlis amal Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (Insani) yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.

Majlis amal berkenaan bertujuan mengumpul dana bagi latihan kanak-kanak istimewa seperti Nouri.

Insani merupakan sebuah badan NGO yang digerakkan oleh Fakhri dan dibantu dua lagi individu iaitu Al Mustaqeem Mahmod Radhi dan Mohd Farhan Nor Affandi.

NGO itu ditubuhkan sejak 2012 untuk membantu keluarga yang tidak berkemampuan menghantar anak-anak mereka menjalani latihan serta menawarkan perkhidmatan sokongan dengan kos lebih rendah.

Ini kerana menurut Fakhri, kemudahan latihan yang disediakan untuk kanak-kanak autisme di negara ini sangat terhad dan mahal.

“Rata-rata saya selidik, terdapat hanya 20 tempat di sekitar Lembah Klang dan kosnya mencecah RM3,000 hingga RM 10,000. 

"Semenjak itu saya nekad untuk buka sendiri pusat latihan kanak-kanak autisme,” jelasnya.

Menurut Fakhri, bakat Nouri dalam seni lukis membuatkan dia percaya  kemampuan anaknya untuk belajar seperti kanak-kanak yang lain dan mencipta kejayaan suatu hari nanti.

“Nouri lebih cenderung dengan seni dan lukisannya juga pernah masuk pameran balai seni visual negara,” tambahnya.

Biarpun tidak mudah membesarkan anak istimewa, bagi Fakhri setiap cabaran yang ditempuhi merupakan pengalaman dan ilmu berharga kepadanya.

Ditanya soal pembahagian masa bersama anak-anaknya yang lain, Fakhri mengakui bahawa perhatian lebih banyak diberikan kepada Nouri.

“Antara cabaran terbesar kami adalah masalah komunikasi. Nouri tidak seperti kanak-kanak lain yang tahu mengekspresikan diri. 

"Saya pernah berhadapan dengan situasi di mana Nouri mengamuk selama dua bulan tanpa sebab dan akhirnya baru saya tahu yang dia sakit gigi," katanya.


Lihat Komen
ADS