Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu meminta orang ramai supaya mengemukakan sebarang aduan atau masalah mereka kepada kementeriannya, beliau sendiri, Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah Kerja Raya.

Katanya, sebuah jawatankuasa aduan juga telah ditubuhkan oleh kementerian itu untuk menerima sebarang rungutan orang ramai bagi menangani masalah mereka.

"Tetapi jika mereka mengemukakan aduan kepada pihak stesen televisyen dan meminta saya memberi jawapan melaluinya (televisyen)...saya fikir itu tidak akan berlaku.

"Saya fikir saya akan menghentikan amalan ini pada masa depan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas aduan orang ramai kepada sebuah stesen televisyen swasta mengenai masalah di Terowong Menora, Jelapang yang disiarkan dalam buletin utama stesen itu semalam.

Samy Vellu, yang mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana membangkitkan masalah itu, menegaskan, kerosakan jalanraya berlaku di mana-mana tempat di seluruh dunia.

"Mana-mana tempat kita pergi pun mesti ada sedikit kerosakan. Kita mesti tengok berapa tahun usia jalan...dan sebagainya.

"Tetapi setiap tahun apabila kita terima peruntukan...kita memperbaiki keadaan yang rosak," katanya.

Terowong selamat

Sementara itu, Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) memberi jaminan Terowong Menora di KM260.9 sepanjang 823 meter berhampiran Plaza Tol Jelapang (arah Kuala Lumpur) selamat untuk semua kenderaan.

Dalam satu kenyataan, PLUS berkata, rekahan pada permukaan terowong itu adalah rekahan kecil lapisan luaran konkrit yang terjadi akibat perubahan suhu.

Bagaimanapun, tiada kesan kepada struktur terowong itu, kata kenyataan itu.

"PLUS menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan berjadual setiap enam bulan terhadap terowong itu menerusi juruperunding pakar. Di samping itu peralatan pemantauan juga dipasang dan alat ini juga dipantau setiap enam bulan," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengemukakan sebarang maklum balas mengenai lebuh raya PLUS dengan menghubungi talian bebas tol PLUSline yang beroperasi 24-jam 1-800-88-0000 atau Jabatan Komunikasi Korporat PLUS di talian 03-79818000.