Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy menyeru kepada semua majikan di negara ini supaya tidak meletakkan sebarang halangan berasaskan perkauman dalam memberikan peluang pekerjaan.

Namun, beliau berpendapat ada sesetengah syarikat memerlukan kriteria tertentu seperti menguasai sesuatu bahasa, di mana ia tidak dapat dielakkan.

"Buat masa sekarang ni kita menyeru kepada semua majikan-majikan di negara kita yang ingin menggaji pekerja baru supaya jangan ada apa-apa halangan untuk dapatkan peluang pekerjaan.

"Tapi kita faham, ada sesetengah pekerjaan memerlukan sesetengah bahasa umpanya - ada syarikat nyatakan mereka perlukan seseorang yang boleh bercakap Mandarin kerana klien mereka perlu dihubungi dalam bahasa Mandarin. Itu tak dapat kita elaklah.

"Secara langsung, kita tak harus mengenakan sekatan pekerjaan ini terhadap sesuatu kaum," katanya kepada pemberita selepas berucap di Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk 2019 di Dewan Brunsfield, Jalan Wisma Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai perkembangan terkini kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut.

Ia dibangkitkan susulan kajian dari Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent- GPS) sebelum ini yang membentangkan bahawa menunjukkan orang Cina lebih mudah mendapat temuduga di sektor swasta, berbanding orang Melayu dan India.

Kajian itu juga menunjukkan wanita tak bertudung lebih mudah dipanggil temuduga daripada mereka yang bertudung.

Pada 10 Mac, Waytha berkata, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum harus diberi peluang pekerjaan sama rata tanpa wujudnya sebarang diskriminasi.

Katanya, Jabatan Perpaduan sedang mengkaji isu berkenaan dan merangka pelan tindakan untuk mengatasi masalah tersebut.