PAS sokong kjaan tangani isu undang-undang keluarga Islam
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong penuh ketegasan kerajaan dalam menangani isu peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang katanya cuba disalahtafsirkan oleh segelintir pihak sehingga mencetuskan salahfaham terhadap undang-undang syariah negara ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong penuh ketegasan kerajaan dalam menangani isu peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang katanya cuba disalahtafsirkan oleh segelintir pihak sehingga mencetuskan salahfaham terhadap undang-undang syariah negara ini.
Katanya, Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail melakukan tindakan yang betul apabila menyatakan undang-undang itu tidak boleh dilulus dan dilaksanakan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira pandangan para ulama.
"Shahrizat dan Peguam Negara telah menunjukkan sikap yang sangat positif dalam kenyataan mereka berhubung rang undang-undang itu yang turut mengambil kira pandangan ulama dan tokoh-tokoh agama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat di Ipoh semalam.
Menurut laporan Bernama, Abdul Hadi berkata, PAS amat tertarik dengan kenyataan menteri itu yang menolak pandangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan kerana tidak melihat rang undang-undang itu secara menyeluruh.
Beliau meminta supaya kajian terhadap rang undang-undang itu turut mengambil kira peranan dan tanggungjawab pihak lain termasuk media dalam membantu mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan.
Ini supaya kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam sesebuah keluarga Islam tidak dikaitkan dengan undang-undang syariah kerana ia sudah cukup sempurna untuk dijadikan panduan, katanya.
'Akta tidak zalim'
Khamis lalu, Shahrizat dalam satu sidang akhbar menegaskan bahawa peruntukan (pindaan) Undang-Undang Keluarga Islam itu menepati hukum syarak dan tidak menindas atau menzalimi golongan wanita.
Shahrizat yang mahu kontroversi mengenainya dihentikan kerana ia akan menjejaskan martabat dan maruah syariah serta agama Islam, turut memberi amaran keras kepada kumpulan NGO tertentu supaya tidak memperlekehkan kesucian undang-undang syariah dengan memberikan gambaran kononnya akta itu zalim.
Dalam perkembangan lain Abdul Hadi turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) memberi tekanan kepada Denmark dan negara-negara yang menyokong tindakan sebuah akhbar di negara itu menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad.
"Kita perlu menghapuskan salah faham di kalangan bukan Islam terhadap Islam dan perkara ini perlu dilakukan dengan cara berhemah," katanya.
Sementara itu, beliau mengumumkan mesyuarat semalam meluluskan permohonan empat bekas ahli Umno dari Kelantan untuk menyertai PAS.
Mereka ialah bekas setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Rusli Ibrahim, bekas calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri Chetok Wan Mohamed Fuad Wan Abdullah, bekas ahli jawatankuasa Umno bahagian Tumpat Che Mohamed Asmari Che Ali dan Ibrahim Mamat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.