Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2006 yang akan diadakan pada 23 hingga 24 Mei depan akan melihat cabaran-cabaran yang dihadapi industri automotif Malaysia

ketika ini.

Persidangan itu bertujuan membincangkan isu-isu seperti kesan rangka kerja Dasar Automotif Negara dan sumbangannya kepada dayasaing sektor automotif Malaysia dan ekonomi negara.

Ia juga akan mengenal pasti aliran baru, peluang dan cabaran yang dihadapi industri automotif tempatan serta bagaimana untuk terus kekal bersaing dan juga mengadakan perbincangan panel berkaitan isu-isu global seperti implikasi pasaran terbuka di rantau ini.

Selain itu, terdapat juga perbincangan berkaitan bahagian khusus industri automotif seperti pengurusan rantaian bekalan automotif dan vendor komponen serta bahagian automotif.

Menurut Bernama, persidangan itu dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan diuruskan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

"Persidangan itu diilhamkan oleh MAA untuk menyediakan titik fokus bagi mengumpulkan penggiat dan penggerak industri berkongsi pandangan tentang industri automotif dalam pasaran global yang begitu kompetitif hari ini dan menyediakan kepada para peserta idea baru dan strategi untuk bergerak seiring dengan aliran semasa," kata presiden MAA Datuk Aishah Ahmad dalam satu kenyataan.

Aishah, yang juga pengerusi penganjur berkata persidangan itu disasarkan kepada semua peringkat industri termasuk pembuatan, pengedaran, penyelidikan dan pembangunan, kejuruteraan dan reka bentuk, teknologi maklumat, pengurusan projek dan pembangunan perniagaan.

Acara itu diadakan bersempena dengan Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2006, pameran terbesar negara daripada 26 Mei hingga 4 Jun.