Umno Kelantan menggunakan menteri pusat sebagai pendekatan baru untuk menawan negeri itu dari PAS dalam pilihanraya umum akan, kata seorang ketua Umno bahagian di negeri itu.

Melalui pendekatan itu, sekurang-kurangnya seorang menteri melawat Kelantan setiap sebulan, kata Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar.

Menurutnya, ia adalah merupakan satu perang psikologi terhadap PAS dan telah dimulakan sejak pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu.

"Strategi ini cukup berkesan kerana maklum balas terhadap sambutan masyarakat Kelantan terhadap Umno amat menggalakkan.

"Ia berkesan kerana masyarakat amat menghormati dan mengkagumi menteri yang disifatkan oleh mereka sebagai `orang yang boleh membantu rakyat," kata Dr Nik Mohd Zain yang juga seorang tokoh korporat yang memiliki syarikat perkapalan Nepline Berhad.

Katanya, ini ditambah lagi dengan pemimpin Umno tempatan yang sentiasa mendampingi rakyat bagi menerangkan kepada mereka mengenai kemampuan Umno memajukan negeri itu.

Imej dan perpaduan

Katanya, perpaduan di kalangan Umno Kelantan adalah utuh dan para pemimpin boleh bekerjasama antara satu sama lain.

Menurutnya, imej Umno di kalangan rakyat Kelantan meningkat mendadak sejak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih pemerintahan negara pada Oktober 2003.

Mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dr Nik Mohd Zain berkata, pengaruh parti itu di Kelantan sudah berada di tahap yang amat tenat dan menunggu masa untuk dibubarkan.

"Penyokongnya seorang demi seorang meninggalkan parti itu kerana mereka sedar tidak ada apa yang boleh dibuat oleh parti tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Dr Nik Mohd Zain berkata, Umno tidak boleh leka dengan perkembangan tersebut tetapi perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan Umno dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata, apa yang penting ialah sikap syak wasangka di kalangan ahli-ahli Umno perlu dikikis dan sebaliknya bekerja dalam satu pasukan.