Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: PAS tak ada modal main isu undi tak percaya PM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin PAS sebagai mencari modal baru apabila mengatakan parti mereka menggagalkan usaha undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Tak apa, dia dah tak ada modal dan dia dah tak boleh jawab isu RM1.4 juta tu, dia cari modal baru,” katanya ringkas kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRK N27 Rantau, di Mambau, Negeri Sembilan, hari ini.

RM1.4 juta yang disebutkan Anwar dipercayai merujuk kepada bayaran yang dikatakan dibuat PAS kepada Sarawak Report dalam penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah presiden parti itu, Abdul Hadi Awang.

Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dikson berkata demikian mengulas dakwaan PAS bahawa perancangan pihak tertentu untuk membuat undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir di parlimen 'gagal' selepas dibongkar lebih awal oleh parti itu.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata partinya memang ada maklumat mengenai perancangan pihak tertentu untuk menyingkirkan perdana menteri di parlimen.

Sementara itu, Anwar mengingatkan agar tidak menyebarkan 'fitnah'.

“Saya nak bagi tahu juga PAS sebuah parti Islam dia tak boleh fitnah,” katanya.

Khabar angin undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir timbul selepas pemimpin PAS berjumpa perdana menteri itu.

Dalam perjumpaan itu, pemimpin PAS dikatakan menandatangani ikrar untuk memberi sokongan kepada Dr Mahathir sekiranya wujud undi tidak percaya terhadap pengerusi PH itu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mendakwa dua parti komponen PH merancang untuk menyingkirkan perdana menteri itu.

Bagaimanapun pemimpin PH menafikan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS