Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Sementa angkat sumpah timbalan speaker
Diterbitkan:  Mar 18, 2019 11:47 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Adun Sementa Dr Daroyah Alwi hari ini mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor yang baru.

Beliau menggantikan Mohd Khairuddin Othman yang dilantik sebagai exco jawatankuasa tetap pembangunan generasi muda dan sukan dan pembangunan modal insan pada Disember lalu.

Dr Daroyah adalah timbalan speaker wanita kedua di DUN Selangor selepas Hanizah Mohamed Talha (sebelum ini ADUN Taman Medan) pada 2008.

Turut mengangkat sumpah dalam istiadat pembukaan penggal kedua sidang DUN Selangor ke-14 ialah ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

Majlis angkat sumpah itu diadakan sebelum Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor, yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir ke istiadat itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Pada pilihan raya kecil 2 Mac lalu, Zakaria menang dengan 19,780 undi.

Dia menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung pada 11 Jan lalu di Hospital Kajang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS