Nazri: MCA tetap bersama BN kerana yakin pada Umno
Bekas setiausaha agung BN Nazri Abdul Aziz hari ini berkata keputusan MCA untuk terus kekal bersama BN adalah kerana parti itu yakin dengan kekuatan Umno.
“Kalau mereka tak yakin (dengan Umno) takkan nak bersama di BN. Lihat pada PRU yang lalu.
"Saya ingat mereka (MCA) membuat keputusan untuk bersama kerana Umno kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Dewan Rakyat ketika mengulas keputusan jawatankuasa pusat MCA semalam mengumumkan bahawa parti itu akan terus bersama BN bagi mengekalkan kerjasama pelbagai kaum.
Bagaimanapun, MCA mengakui bahawa keputusan itu mungkin akan dianggap sebagai "tidak betul secara politik kerana ia menjejaskan populariti parti tersebut.
Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Renggas berkata buat masa ini Umno mempunyai perwakilan ahli parlimen paling kuat.
“Sekiranya tidak, mereka sepatutnya meninggalkan kami jika tidak yakin dengan Umno.
Sementara itu, Nazri turut berkata bahawa “persandingan” Umno dan PAS merupakan satu-satunya cara BN akan berjaya pada PRU 15.
“Saya percaya kerjasama Umno dan PAS semakin kuat. Ia juga membuahkan hasilnya di Cameron (Highlands) dan Semenyih,” jelasnya.
“Kami akan pastikan kerjasama ini akan kekal sehingga PRU15.
Tambah Nazri bahawa sebagai anggota Umno beliau perlu fokus kepada perjuangan Umno. Kami akan memberi kepentingan kepada Melayu dan Islam.
“Selepas menang kami akan menjaga orang lain. Kalau kami tak kuat macam mana jaga orang lain,” soal beliau lagi.

