Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Turki bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan di Syria, dipercayai terbabit dalam aktiviti keganasan.

Ketua Polis Negara Tan Mohamad Fuzi Harun berkata sekiranya berjaya dibawa keluar dan kembali ke tanah air, kesemua mereka perlu menjalani program pemulihan sebelum dibebaskan sepenuhnya.

“Kita akan berhubung dengan counterpart (rakan sejawatan) kita terutama di Turki untuk membawa mereka keluar. Sekiranya berjaya, kita akan bawa mereka pulang mengikut proses biasa.

“Apabila kembali ke negara ini, mereka kena mengikut prosedur tertentu termasuk mengikuti program pemulihan yang akan kita kendalikan secara sistematik sebelum kita dapat membebaskan mereka nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai PDRM yang sedang dalam proses membawa pulang kesemua 23 rakyat Malaysia daripada 51 yang ditahan di Syria, dipercayai terbabit dalam aktiviti keganasan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini dilaporkan berkata daripada jumlah itu, 11 orang terdiri daripada golongan dewasa dan 12 kanak-kanak.

Ayob Khan berkata kesemua mereka berhubung dengan keluarga masing-masing dan keluarga mereka menghubungi PDRM untuk bantu proses membawa pulang.

Menurut Mohamad Fuzi, sebelum ini, terdapat seorang wanita berasal dari Kuala Terengganu bersama dua anaknya berjaya dibawa pulang ke negara ini daripada konflik di Syria hasil kerjasama PDRM dan pihak berkuasa Turki.

Ditanya sama ada mereka yang dibawa pulang itu akan dikenakan tindakan undang-undang, Mohamad Fuzi menegaskan ia bergantung kepada keadaan memandangkan kebanyakan mereka yang terlibat adalah isteri dan anak-anak individu yang terlibat dalam kegiatan keganasan di Syria.

“Kalau mereka (isteri) ikut suami mereka, mungkin kita (PDRM) akan bagi pertimbangan tertentu untuk memulihkan mangsa (isteri) dan anak-anak.

“Kita bagi ruang dan peluang anak-anak dan isteri kembali kepada masyarakat. Itu lah kita punya harapan tetapi mereka kena bagi kerjasama penuh kepada kita,” katanya.

Mengenai Istiadat Penganugerahan PJPN, beliau berkata seramai 400 individu menerimanya merangkumi 396 orang pegawai dan anggota PDRM yang masih berkhidmat manakala empat lain merupakan pesara.

Beliau berkata empat pesara itu termasuk Sub Insp (B) Maimunah Abd Razak, 82, yang merupakan antara 54 anggota Konstabel Polis Wanita (WPC) pertama di negara ini, yang menyertai pasukan PDRM sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

- Bernama