Wanita PKR: Bentang semula RUUKI dedah kelemahan kjaan
Pergerakan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa, pembentangan semula Rang Undang-undang Keluarga Islam (RUUKI) Wilayah Persekutuan dalam sesi Parlimen Mac ini menggambarkan kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pergerakan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa, pembentangan semula Rang Undang-undang Keluarga Islam (RUUKI) Wilayah Persekutuan dalam sesi Parlimen Mac ini menggambarkan kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, ia menggesa kerajaan meminta maaf kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara kerana "membuang masa pembentangan dan perbahasan dalam Parlimen dan membentang sesuatu yang tidak dikaji dengan teliti dan menyeluruh".
"Wanita PKR berpendirian bahawa langkah ini merupakan penyelesaian jangka pendek terhadap masalah wanita yang berpunca dari kelemahan sistem pentadbiran dan perlaksanaan Mahkamah Syariah," kata Ketuanya, Fuziah Salleh dalam satu kenyataan hari ini.
Fuziah berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kredibiliti Mahkamah Syariah terpelihara.
Naik taraf
Untuk itu, beliau menyarankan untuk jangka panjang beberapa langkah diambil termasuk menyeragamkan undang-undang keluarga Islam di seluruh negara.
Katanya, bidang kuasa undang-undang keluarga Islam perlu diberi kepada kerajaan pusat seperti dalam undang-undang tanah.
"Keseluruhan RUUKI seharusnya diberi penelitian rapi untuk melihat kembali bagaimana ianya boleh diperbaiki.
"Contohnya, menambah sebab penagihan dadah sebagai alasan munasabah untuk menuntut fasakh yang sekarang tidak wujud dalam RUUKI," tambahnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu menaiktaraf Mahkamah Syariah dengan mencadangkan perkara-perkara berikut:
Menambah bilangan Hakim Syariah untuk menangani kes yang bertambah serta membaiki bangunan mahkamah agar lebih kondusif.
Mengkaji semula skim gaji serta beban kerja hakim-hakim syarie agar bersifat kompetitif dan bersesuaian.
Membuat tambahan peruntukan supaya kakitangan sokongan boleh ditambah di seluruh negeri untuk melancarkan pelaksanaan dan tindakan yang diambil.
Menyediakan latihan secukupnya kepada semua hakim syarie supaya mereka lebih bersedia dan kreatif dalam mecari penyelesaian dan memutuskan kes-kes yang dibawa ke hadapan mereka (tidak terlalu mengikut buku).
Membuat pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah)(Pindaan) 1984 agar bidangkuasa Mahkamah Syariah diperluaskan lagi untuk memastikan ianya dihormati.
Menurut Fuziah lagi, Wanita PKR juga menuntut supaya kerajaan meneliti undang-undang lain di bawah kuasa Mahkamah Syariah seperti Undang-undang Jenayah Syariah dan seterusnya membuat pindaan yang wajar demi kebaikan semua

