Pasangan Islam dilarang sambutan Hari Valentine esok
Pasangan umat Islam yang bercinta dilarang menyambut dan meraikan Hari Valentine atau Hari Kekasih kerana ia diharamkan oleh Islam, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Terengganu Muhammad Ramli Nuh.
Pasangan umat Islam yang bercinta dilarang menyambut dan meraikan Hari Valentine atau Hari Kekasih kerana ia diharamkan oleh Islam, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari Terengganu Muhammad Ramli Nuh.
Katanya, Hari Valentine, yang disambut esok, boleh diibaratkan sebagai mengiktiraf musuh Islam kerana Valentine atau Valentinus terbabit merancang dan menyerang, sekaligus memusnahkan tamadun Islam di Cordoba.
"Orang Islam tidak sepatut meraikannya kerana ia seolah-olah mengiktiraf pihak yang bertanggungjawab memusnahkan sebuah tamadun Islam di Sepanyol," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawwuf Nusantara di Kuala Terengganu hari ini.
Muhammad Ramli berkata, ada pasangan menjadikan Hari Kekasih yang diraikan 14 Februari setiap tahun sebagai alasan untuk berjumpa dan ini akhirnya boleh menyebabkan berlaku perkara terlarang.
Beliau juga berkata kebanyakan pengajar ajaran sesat, termasuk Ariffin Mohamad yang lebih dikenali sebagai Ayah Pin, didapati berselindung di sebalik ilmu tasawwuf ketika menyebarkan ajaran mereka.
Ajaran Ayah Pin
Muhammad Ramli berkata, penyelewengan itu berlaku apabila ilmu tasawwuf tidak digandingkan dengan sebarang unsur tambahan seperti ilmu fikah, tauhid dan akhlak sehingga menyebabkan mereka yang mengamalkan ilmu tasawwuf meminggirkan ilmu lain.
"Masyarakat mudah terpesong akidah kerana kesedaran mengenai ilmu tasawwuf masih rendah," katanya.
Muhammad Ramli juga berkata, pemantauan berterusan telah dijalankan di perkampungan Ayah Pin di Batu 13, Hulu Besut bagi memastikan tiada kegiatan yang boleh menghidupkan kembali ajaran sesat itu.
Beliau tidak menolak kemungkinan ajaran itu masih mempunyai pengikut berdasarkan pemantauan yang mendapati antara 30 hingga 40 orang dari kalangan penduduk dalam dan luar Terengganu masih mengunjungi perkampungan itu yang kini dihuni tiga hingga empat keluarga.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.