Rencana fitnah: Rosyam Nor saman akhbar RM1 juta
Pelakon lelaki popular, Rosyam Nor, hari ini memfailkan saman dan tuntutan berjumlah RM1 juta terhadap penerbit akhbar Forum Perdana dan tiga lagi, kerana menyiarkan rencana yang didakwa menfitnahnya, awal tahun ini.
Pelakon lelaki popular, Rosyam Nor, hari ini memfailkan saman dan tuntutan berjumlah RM1 juta terhadap penerbit akhbar Forum Perdana dan tiga lagi, kerana menyiarkan rencana yang didakwa menfitnahnya, awal tahun ini.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohammad Noor Shamsuddin, 38 tahun, menfailkan saman itu melalui peguamnya Tetuan Sahlan & Associates, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Tindakan undang-undang terhadap pihak media itu adalah yang pertama diambil oleh pelakon popular itu sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam bidang hiburan tanahair.
Dalam saman itu, Rosyam menamakan Penerbitan Pena Alam, ketua editor akhbar Forum Perdana Muhammad Zahir Che Omar, KLK Press Sdn Bhd dan penulis rencana itu, Norasikin Samsi, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua, ketiga dan keempat.
Dalam pernyataan tuntutan 10 muka surat itu, Rosyam mendakwa pada keluaran Januari 2006 akhbar Forum Perdana telah menyiarkan tajuk "Kenapa Rosyam Cerai Isteri" pada muka depan dan rencananya pada muka surat 10 akhbar itu yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah, berniat jahat, merosakkan dan menjatuhkan maruah diri serta kehidupannya.
Rosyam, yang juga penerbit dan penyampai rancangan televisyen, mendakwa rencana tersebut telah merujuk kepada cerita kemusnahan rumah tangga dan punca perceraiannya dengan isterinya, Runika Mohd Yusof.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Rosyam mendakwa rencana itu telah membawa maksud bahawa dia merupakan seorang suami yang tidak bertanggungjawab zahir dan batin kepada isterinya serta telah mengabaikan peranannya sebagai seorang suami.
Tambah pelakon utama filem Castello, KL Menjerit dan Gangster itu lagi, rencana tersebut menggambarkan bahawa rumah tangganya tidak bahagia dan isterinya telah berlaku curang kerana sikapnya yang tidak bertanggungjawab.
Rasa terhina
Pelakon itu mendakwa akibat penyiaran rencana tersebut, reputasi serta nama baiknya telah tercemar dan dia merasa sangat terhina serta dimalukan.
Beliau juga mendakwa rencana itu diterbitkan atas dorongan niat dan motif jahat untuk meningkatkan jualan serta keuntungan akhbar berkenaan.
Rosyam menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 serta ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk sebanyak RM500,000 terhadap perbuatan fitnah yang terkandung dalam rencana tersebut.
Selain itu, beliau turut memohon perintah injuksi untuk melarang defendan-defendan daripada menerbit dan mengedar rencana terbabit, kos dan relif lain daripada mahkamah.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Rosyam berkata tindakannya menyaman akhbar itu bukan dibuat kerana faktor kewangan tetapi demi menjaga maruah diri dan keluarganya yang telah tercemar.
"Saya harap selepas ini media dan artis saling menghormati, jangan tulis sesuka hati. Ada yang mempercayai rencana tersebut. Saya dan keluarga menjadi tertekan. Saya juga ada perasaan," katanya.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosyam telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik 1999 serta Pelakon Drama Lelaki Popular.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.