Terjemahan Delegasi editor kanan akhbar Guangming Daily dan Sin Chew Daily mengadakan pertemuan dengan para pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berhubung kontroversi penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad.

Bagaimanapun, para editor akhbar berkenaan yang diketuai oleh Ketua Pengarangnya, Siew Nyoke Chow, enggan bercakap dengan pemberita selepas pertemuan tersebut.

Minggu lalu, Guangming berdepan dengan kemungkinan digantung penerbitannya selepas menyiarkan foto seorang pembaca memegang sebuah akhbar luar negeri yang memaparkan karikatur tersebut.

Menurut satu sumber, akhbar tersebut 'terselamat' tetapi beliau tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai pertemuan di Putrajaya itu.

Katanya, kakitangan Guangming telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan melalui emel supaya jangan mempercayai khabar angin mengenai nasib akhbar tersebut, atau bercakap dengan orang luar mengenai isu berkenaan.

Akhbar itu juga dijangka melakukan rombakan editorial atau ada yang akan dipecat berhubung isu tersebut, katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Noh Omar dan Ketua Pengarang Kumpulan Sin Chew Media Corporation Siew, tidak dapat dihubungi untuk mendapat komen.

Sin Chew Media Corporation menerbitkan akhbar Guangming Daily dan Sin Chew Daily .

Karikatur tersebut telah disiarkan dalam sebuah akhbar Denmark tahun lalu, dan mencetuskan bantahan dan kutukan di seluruh dunia.

Minggu lalu, akhbar di Malaysia Timur Sarawak Tribune digantung penerbitannya selepas menyiarkan karikatur tersebut.

Jangan ambil keselamatan

Dalam satu perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangannya terhadap kemungkinan akhbar Guangming turut menerima nasib yang sama.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden, Dr Lee Boon Chye berkata, walaupun PKR mengutuk penyebaran pandangan yang mempersendakan sesuatu agama atau masyarakat, tetapi tidak seharusnya diambil kesempatan daripada keadaan tersebut.

Beliau berkata, persoalannya ialah bukan dengan menghadkan kebebasan akhbar, tetapi sebaliknya media harus diberi kebebasan untuk berfungsi dengan sempurna.

"Kami mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak keterlaluan dalam menghukum pihak media kerana melakukan kesilapan dan kelalaian. Pemerintah tidak harus mengambil kesempatan daripada sentimen rakyat terhadap individu yang tidak bertanggungjawab dalam media, untuk melakukan penapisan," katanya. Berita asal