SC boleh minta penjelasan mengenai penjualan Agusta, kata Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekecewaan terhadap Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berdiam diri mengenai isu penjualan MV Agusta oleh Proton Holding Bhd pada harga hanya satu euro.
Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekecewaan terhadap Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berdiam diri mengenai isu penjualan MV Agusta oleh Proton Holding Bhd pada harga hanya satu euro.
Bekas perdana menteri itu berkata, SC mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan daripada Proton kerana dalam penjualan pembuat motosikal Itali itu, Proton "memberikan hampir RM400 juta dengan hanya begitu sahaja dalam tindakan yang menimbulkan pelbagai persoalan."
"Mereka berkata SC sepatutnya mengkaji perkara ini tetapi sehingga kini tiada ulasan daripada SC, seolah-olah perkara berkenaan terlalu sensitif sehingga tiada siapa yang boleh mengulas mengenainya," kata beliau semasa ditemui selepas menerima kunjungan bekas presiden Iran Presiden Mohammad Khatami di Putrajaya semalam.
Dr Mahathir, yang juga penasihat Proton berkata: "Anda menjual pada harga satu euro. Adakah anda memberitahu orang lain yang anda akan menjual? Adakah terdapat tawaran lain, adakah hanya satu tawaran sahaja? Banyak soalan yang perlu ditanya."
Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian sebagai mengulas persoalan yang ditimbulkan oleh bekas ketua pegawai eksekutif Proton Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff hari ini mengenai kurangnya maklumat tentang penjualan MV Agusta.
Dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia pada Disember tahun lalu, Proton menyatakan bahawa penjualan berkenaan konsisten dengan hala tuju atau melupus aset bukan teras.
Proton masih belum memberi reaksi kepada pertanyaan daripada Dr Mahathir dan Tengku Mahaleel.
Awal tahun ini, Proton mengeluarkan kenyataan menyebut bahawa ia membuat pengumuman yang sewajarnya kepada Bursa Malaysia berkaitan urusniaga MV Agusta Motors dan dengan itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tambahan mengenai perkara itu.
Kritikan
Bercakap dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam, Tengku Mahaleel, antara lain, mempersoal kebijaksanaan Proton dalam menjual pembuat motosikal itu pada hanya sahaja, dan berkata Proton rugi sejumlah 75.99 juta euro atau RM348 juta daripada penjualan itu.
Dr Mahathir yang bersependapat dengan kenyataan Tengku Mahaleel itu berkata: "Jelas ia suatu yang dilaksanakan secara tidak betul, untuk memberikan RM400 juta. Sekarang ini tidak ada lagi peluang untuk mendapatkan kembali wang yang dibelanjakan memandangkan ia (MV Agusta)
telah dijual."
Beliau yang menyuarakan rasa tidak setuju dengan kritikan bahawa pembelian MV Augusta semasa beliau menjadi perdana menteri sebagai langkah "tidak bijak" beliau berkata keputusan untuk membeli syarikat Itali itu bukan dibuat dalam masa singkat memandangkan ia mengambil masa 14 bulan untuk mencapai keputusan tersebut.
"Syarikat ini agak murah dan kita tahu kapasiti mereka. Tetapi seseorang itu dengan mudah berkata ia untuk dijual dengan hanya satu euro. Saya tidak boleh bayangkan..." kata beliau.
Dr Mahathir berkata seseorang yang tidak memahami kejuruteraan tidak akan dapat menjalankan syarikat automotif.
Inilah sebabnya perkara ini tidak hanya dilihat dari segi kewangan tetapi juga kerugian teknologi.
"Jika anda mahu teknologi, anda ambil rakan kongsi yang mempunyai teknologi. Sekiranya anda boleh membeli teknologi, anda beli teknologi. Semua negara membeli teknologi," katanya.
Dr Mahathir yang menyifatkan MV Agusta sebagai syarikat motosikal terbaik di dunia berkata: "Dalam dunia motosikal, ia adalah Rolls-Royce, dan anda menjual dengan hanya satu euro. Dan apa yang boleh dibuat dengan satu euro?"

