Abdul Kadir umum letak jawatan menteri penerangan
Menteri Penerangan Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini mengumumkan perletakan jawatan daripada kabinet untuk menumpukan lebih banyak masa kepada keluarga.
Menteri Penerangan Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini mengumumkan perletakan jawatan daripada kabinet untuk menumpukan lebih banyak masa kepada keluarga.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menerima perletakan jawatannya itu. Kadir memegang jawatan tersebut sejak 27 Mac 2004
Bercakap dalam sidang akhbar di Angkasapusi pagi ini, Kadir berkata beliau tidak menyerahkan surat perletakan, tetapi sebaliknya memaklumkan hasratnya itu secara lisan kepada perdana menteri.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengekalkan kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baru serta jawatan ketua Umno bahagian yang sama.
Kadir, 67, berkata, beliau tidak akan bersara dari politik dan akan bertanding lagi bagi kerusi Majlis Tertinggi Umno (MT) dalam pemilihan parti akan datang.
Kadir dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar pada 1993, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (1990), Timbalan Menteri Sumber Manusia (1995-1999), Timbalan Menteri Dalam Negeri (Januari-Mei 1999), Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (Mei 1999).
Pohon undur diri
Beliau dipercayai mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana gagal mempertahankan kerusi MT dalam pemilihan Umno September 2004.
Mengimbas kembali keputusannya untuk berundur, Abdul Kadir berkata beliau menemui Perdana Menteri sembilan bulan lalu bagi menyatakan hasratnya itu.
Ketika itu, katanya, Abdullah telah meminta beliau supaya "bersabar dahulu, fikir semula dan terus berkhidmat".
Katanya dua minggu lalu, beliau sekali lagi berjumpa Perdana Menteri untuk memohon supaya dibenarkan berundur.
"Kali ini, beliau memberitahu saya bahawa oleh kerana saya sudahpun memikirkannya secara mendalam, beliau bersetuju.
"Namun, beliau meminta saya terus berkhidmat sehingga beliau umumkan rombakan kabinet," kata Abdul Kadir.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu bila Perdana Menteri akan mengumumkan rombakan kabinetnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.