Nazir: Tawaran kepada Southern Bank bukan bida paksa
CIMB Group amat positif dan tidak melihat tawarannya kepada Southern Bank Bhd (SBB) sebagai satu bida paksa kerana syarat-syaratnya adalah mesra, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nazir Razak.
CIMB Group amat positif dan tidak melihat tawarannya kepada Southern Bank Bhd (SBB) sebagai satu bida paksa kerana syarat-syaratnya adalah mesra, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nazir Razak.
"Saya tidak melihatnya sebagai satu bida paksaan. Malahan, keputusan SBB untuk membatalkan perundingan dengan kami adalah atas sebab kami tidak membuat tawaran selepas begitu lama. Sekarang kami mengemukakan tawaran kepada mereka untuk mereka pertimbangkan," katanya dalam sidang akhbar lewat semalam.
Syarikat induknya Bumiputra-Commerce Holdings Bhd (BCHB) telah membuat tawaran untuk memiliki keseluruhan perniagaan dan tanggungan SBB untuk tunai dan menyerahkan tawaran am sukarela (VGO) bersyuarat untuk memiliki semua saham dan waran belum dimilikinya untuk tunai dan stok pinjaman boleh tebus boleh tukar tidak berjamin (RCULS) baru BCHB.
Menurut laporan Bernama, Nazir berkata notis itu telah diserahkan tengah hari ini, sambil menambah bahawa tawaran itu adalah berpatutan dan menarik kerana VGO itu dilampirkan kepadanya untuk membantu para pemegang saham keluar pada masa yang lebih cepat.
"Jika tidak, sekiranya mereka mahu membuat jualan aset secara bersendirian, mereka terpaksa menunggu selama lapan bulan sebelum mereka boleh memperolehi perolehan mereka," katanya.
Tetapi dengan tawaran itu, penggabungan itu akan diselesaikan dalam tiga bulan, tambah beliau.
Ditanya mengenai kelambatan dalam membuat tawaran itu, Nazir berkata, "Perundingan itu berlanjutan kerana kami telah menghubungi pemegang-pemegang saham utama dan rancangan kami adalah untuk membolehkan mencapai satu struktur yang akan disokong oleh para pemegang saham utama dan lembaga."
Mesyuarat luar biasa
"Jelaslah bila mereka menarik diri, saya agak terkejut. Oleh itu, kami terpaksa teruskan dan membuat tawaran itu kemudian," katanya.
Sebaik jualan perniagaan dan tanggungan SBB telah diluluskan oleh pemegang-pemegang saham majoriti dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM), mereka yang ingin keluar boleh berbuat demikian dan dibayar 21 hari daripada VGO itu menjadi luput.
Bagi baki ppemegang saham, mereka akan menerima agihan daripada perolehan tawaran sebaik selesai urusan pengurangan modal yang akan dilaksanakan berikutnya.
Saham-saham SBB dinilai pada RM4.15 sesaham, iaitu premium 20 peratus daripada harga penutup pada 20 Oktober 2005, sebanyak RM3.46 sesaham, ini adalah tarikh sebelum pengumuman penerimaan kelulusan Bank Negara Malaysia oleh BCHB untuk memulakan perundingan dengan SBB dan pemegang-pemegang saham utamanya.
Harga itu juga merupakan harga kepada nisbah buku 1.88 kali dan harga kepada nisbah aset ketara bersih 2.39 kali, berasaskan kepada keputusan yang belum diaudit SBB setakat 30 Sept 2005.
Bagi pemilikan keseluruhan perniagaan dan tanggungan SBB, jumlah modal adalah RM6.348 bilion, yang bersamaan dengan RM4.08 digandakan dengan jumlah bilangan saham SBB belum dijelaskan.
Di bawah syarat pembayaran VGO, para pemegang saham akan menerima pembayaran sebanyak RM3.08 secara tunai dan (75 peratus) dan RM1.00 dalam RCULS (25 peratus).
Berasaskan kepada tahap pasaran semasa, RCULS yang akan akhirnya disenaraikan, adalah bernilai kira-kira tujuh sen sesaham SBB dan membawa kupon 2.5 peratus setahun dan boleh ditukar menjadi saham BCHB pada RM6 sesaham pada bila-bila masa sepanjang 24 bulan.
Syarat tawaran
Di bawah syarat-syarat tawaran itu, SBB juga hanya dibenarkan mengisytihar sehingga 5.0 sen (kasar) dalam dividen kepada para pemegang saham.
"VGO itu adalah bersyarat apabila perniagaan dijual kepada kami. Kami serahkan kepada para pemegang saham untuk membuat keputusan. Kami telah membuat tawaran yang wajar dan ia harus diambil oleh para pemegang saham. Masa saya singkat. Saya mempunyai masa dan perniagaan untuk dijalankan," kata Nazir.
Beliau berkata kumpulan itu tiada masalah dengan pembiayaan kerana BCHB mempunyai kedudukan modal berlebihan dan kemampuan yang mencukupi untuk meminjam.
Bagaimanapun, ia belum lagi memutuskan mengenai pelan pembiayaan kerana ini bergantung kepada janji niaga itu.
Nazir berkata penggabungan yang dicadangkan itu, yang terbesar setakat ini, akan menggabungkan kedudukan peneraju CIMB Group dalam perbendaharaan, kekuatan pelaburan, perbankan pelaburan dan perbankan korporat dan juga francais pengguna yang besar dengan kekuatan SBB dalam segmen-segmen runcitan utama dan perbankan PKS untuk mewujudkan sebuah kumpulan perkhidmatana kewangan peneraju.
Kumpulan digabungkan itu akan mempunyai keseluruhan aset kira-kira RM150 bilion dan dengan selesa merupakan kumpulan berbankan kedua terbesar Malaysia selepas Maybank.

