Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mustahil kos ECRL cecah RM130 bilion, kata Najib
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memang boleh mencecah sehingga RM130 bilion - seperti yang dinyatakan Dr Mahathir Mohamad - tetapi hanya dengan syarat-syarat yang mustahil.

Beliau menjawab kenyataan perdana menteri yang berkata kos ECRL mungkin mencecah angka itu selepas mengambil kira faedah pinjaman.

Untuk ia benar-benar berlaku, kata Najib, faedah bagi pinjaman RM55 bilion daripda Export-Import Bank of China (Exim Bank) perlu pada kadar tujuh peratus untuk tempoh 20 tahun, berbanding 3.25 peratus yang dipersetujui pentadbiran BN dulu.

Selain itu, katanya, keseluruhan RM55 bilion itu juga perlu digunakan pada hari pertama.

"Ini mustahil kerana dana daripada pinjaman untuk projek pembangunan hanya akan disalurkan secara berperingkat mengikut tahap pembinaan," katanya di Facebook hari ini.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu tidak membayar walau satu sen secara ansuran untuk mengurangkan pinjaman pokok selama tempoh 20 tahun tersebut.

"Ini juga mustahil kerana syarat pinjaman yang ditetapkan Exim Bank ialah pembayaran semula pinjaman pokok perlu dibuat secara ansuran sebaik ECRL memulakan operasi pada tahun ketujuh," katanya lagi.

Najib berkata ECRL juga mesti tidak menjana sebarang pendapatan, sama ada melalui penumpang atau kargo, dan kerajaan tidak mendapat hasil daripada cukai tanah dan peribadi, duti setem, atau peningkatan nilai hartanah di kawasan sekitarnya.

"Jika Semua syarat ini dipenuhi, baru betul kos ECRL boleh mencapai RM130 bilion seperti diumumkan oleh kerajaan hari ini," katanya lagi.

Najib menyifatkan kenyataan itu sebagai "satu lagi propaganda" kerajaan untuk memburukkan pentadbiran BN.

Buat masa ini, kerajaan masih dalam proses rundingan semula projek itu dengan kerajaan China.

 

Lihat Komen
ADS