Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menyampaikan ucapan sulungnya sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini, kemunculan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) cepat menarik perhatian ramai.

Bekas pegawai kanan polis itu kekal kemas dan segak seperti anggota parlimen lain - kecuali beliau mengenakan topi unik yang biasanya dipakai masyarakat Orang Asli.

Ditemui media selepas berbahas Ramli berkata beliau berasa bangga kerana mengenakan topi tradisional tersebut semasa menyampaikan ucapannya.

"Ini adalah sebagai tanda bahawa saya ialah Orang Asli pertama duduk di dewan dan ini adalah ucapan pertama saya, (menjadi) suara Orang Asli pertama di dalam Dewan Rakyat.

"Saya membawa identiti ini untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa Orang Asli wujud di Malaysia dan ini adalah isi hati suara mereka," katanya.

Untuk rekod Ramli diletakkan sebagai wakil BN dalam PRK Cameron Highlands pada 26 Jan lalu, mengalahkan calon PH, M Manogaran.

Turut bertanding di kerusi tersebut ialah dua calon bebas.

Susun semula kedudukan Jakoa

Ramli memperoleh 12,038 undi berbanding Manogaran (8,800 undi), Sallehudin Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Mengikut tradisi kerusi parlimen Cameron Highlands diwakili oleh calon MIC, namun pada PRK lalu BN memilih tokoh daripada masyarakat Orang Asli dari suku Semai untuk mewakili pembangkang.

Ditanya perasaannya hari ini Ramli berkata, beliau gembira kerana ia menunjukkan suatu pengiktirafan kepada masyarakat Orang Asli.

Kata Ramli topi seperti yang dipakainya hari ini lazim dikenakan oleh tok batin untuk menghadiri majlis rasmi atau perayaan tertentu.

Ditanya dari mana beliau mendapat topi itu, Ramli berkata: "Ia dibuat orang kampung di Cameron Highlands. Mereka hadiahkan."

Sementara itu dalam ucapannya Ramli meminta kerajaan kembali meletakkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Ketika ini Jakoa diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan senator P Waythamoorthy - yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan - sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenainya.

Lihat Komen
ADS