Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga Michael Garing fail rayuan pada presiden S'pura
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 5:23 PM
Dikemaskini: Mar 21, 2019 6:37 PM

Keluarga Michael Garing, yang dijatuhi hukuman gantung di Singapura, telah memfailkan petisyen rayuan segera kepada presiden republik itu Halimah Yacob.

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran berkata petisyen bertarikh semalam itu dihantar secara terus pagi ini oleh abang dan ibu bapa Michael di Istana - kediaman rasmi presiden Singapura.

"Undang-undang Singapura tidak menghalang petisyen rayuan baru dibuat kepada presiden.

"Dalam petisyen itu, ibu bapa Michael meminta nyawa anak mereka diselamatkan. Mereka juga meminta maaf kepada mangsa jenayah yang dilakukannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata lagi, keluarga Michael juga merayu agar belas kasihan diberikan dan hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup.

Michael dijatuhkan hukuman itu selepas disabitkan atas kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2015 dan sabitan berkenaan disahkan Mahkamah Rayuan pada 2017.

Menurut Straits Times, Michael terlibat dalam rompakan yang menyebabkan seorang terbunuh dan tiga cedera parah di Kallang, Singapura, pada 2010.

Seorang lagi suspek, Tony Imba, dipenjara seumur hidup.

Hari ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang berusaha untuk menyelamatkan lelaki berusia 30 tahun itu.

"Kita sedang cuba menyelamatkan nyawanya. Sepertimana kita tahu di Malaysia sekarang ini pemikiran rakyat ialah hukum gantung itu keterlaluan. Jadi kita harap negara lain juga bersikap demikian," kata Mahathir.

Surendran mengucapkan terima kasih kepada Mahathir atas kenyataan itu dan berharap kerajaan Singapura akan membuat pertimbangan serius terhadap permintaan Mahathir dan juga rayuan ibu bapa Michael.

Lihat Komen
ADS