Malaysia sedia bantu badan Islam Perancis
Malaysia sedia membantu Majlis Agama Islam Perancis (CFCM) dalam beberapa perkara untuk manfaat Muslim di negara itu, termasuk melatih imam dan mursyidah di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau menyatakan komitmen itu susulan pertemuannya dengan Naib Presiden CFCM, Anouar Kbibech, pada Rabu.
Anouar turut meminta bantuan Malaysia bagi memperkasa industri pelancongan halal yang dikendalikan masyarakat Muslim Perancis di negara berkenaan.
“Pelbagai perkara dibincangkan (dalam pertemuan dengan Anouar) bagi manfaat bersama termasuk bagaimana Malaysia boleh membantu golongan Muslim melalui CFCM.
"Salah satu perkara itu ialah supaya Malaysia dapat membantu memperkenalkan prosedur dan menyediakan latihan bagi imam-imam dan mursyidah-mursyidah di Perancis.
“Saya dimaklumkan terdapat kira-kira 2,500 masjid di Perancis dan CFCM menyatakan kesediaannya untuk menghantar calon-calon imam dan mursyidah ke Malaysia bagi menjalani latihan tersebut,” kata Dr Wan Azizah kepada Bernama dan RTM di Paris, hari ini.
CFCM adalah badan perantara rasmi masyarakat Muslim Perancis dengan kerajaan negara itu dalam perkara berkaitan Islam.
Pelawa datang ke KL
Dr Wan Azizah berkata, CFCM juga memohon bantuan Malaysia untuk menyelesaikan isu persijilan halal yang telah diusahakan sejak beberapa tahun.
“Saya menjemput wakil CFCM melawat Malaysia supaya dapat berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai prosedur persijilan halal Jakim yang boleh diadaptasi di Perancis,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata, beliau juga memberi jaminan kepada Anouar bahawa Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Dr Afzar Mohamad Mustafar akan menguruskan permintaan-permintaan CFCM itu dengan badan-badan berkaitan di Malaysia.
Dalam pertemuan itu, Dr Wan Azizah turut mengemukakan idea kepada Anouar mengenai penubuhan entiti seperti Tabung Haji bagi merancang dan mengurus perjalanan bakal haji Perancis.
“Kita memperkenalkan idea ini kepada CFCM dan mereka mungkin akan memikirkan bagaimana untuk melaksanakannya kerana di Perancis ini tidak ada entiti untuk menguruskan perjalanan jemaah haji ke tanah suci,” katanya.
Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata beliau turut mengundang Anouar dan pimpinan CFCM ke Persidangan Halal Antarabangsa 2019 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, awal bulan hadapan.
Dr Wan Azizah mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Perancis hari ini dengan agenda utama lawatan ialah mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.
MOST ialah program sains antara kerajaan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mengenai transformasi sosial.
- Bernama

