Paling Popular
Terkini

ULASAN | Hampir seminggu tragedi berdarah di Masjid al-Noor dan Pusat Islam Linwood berlalu, tapi duka yang terasa belum reda walaupun sedikit.

Tidak perlu bahasa berbunga-bunga, berkias atau tinggi untuk menjelaskan bagaimana bebal dan jahatnya kelakuan pengganas tersebut.

Islam mengajarkan kedamaian. Islam juga meletakkan peraturan bahawa sesiapa saja yang berlindung dalam masjid akan aman daripada segala ancaman.

Ia memang diajarkan begitu oleh Nabi Muhammad SAW semasa baginda dan rombongan sahabat memasuki Makkah ketika peristiwa Fathu Makkah pada hari ke-10 Ramadan tahun kelapan hijrah.

Tiba-tiba seorang penyangak yang bertindak atas kebencian - dan percaya kepada ketuanan bangsa - menceroboh secara biadab serta membunuh dalam premis yang ditetapkan Islam sebagai tempat yang selamat.

Dia mencari kemasyhuran daripada tindakan ganasnya. Namun dunia enggan memberikan kemasyhuran itu - kecuali orang atau pemimpin dalam kalangan yang bebal juga.

Sebaliknya yang muncul sebagai wira dan suri teladan ialah seorang wanita yang belum pun berusia 39 tahun. Dia baru 14 bulan lalu melahirkan seorang bayi perempuan.

Tidak banyak yang diperkatakan dunia tentang wanita itu, Orang Islam tidak kisah pun siapa dia - sehinggalah penyangak terbabit muncul dengan kebencian di Masjid al-Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch.

Tidak sependapat dengan gereja

Tiba-tiba nama Jacinda Ardern menjadi bahan sebutan yang manis-manis, terutama dalam kalangan penganut Islam di seluruh dunia.

Perdana menteri New Zealand itu berada di depan untuk mengecam pengganas dari Australia yang membunuh 42 orang di Masjid al-Noor, tujuh di Pusat Islam Linwoond dan seorang menghembus nafas terakhir di Hospital Christchurch.

Daripada seorang perdana menteri yang berarak bersama aktivis dan penyokong kumplan gay, Jacinda mengecam pembunuh tersebut sebagai pengganas, sebagai pelampau dan - kerana kemarahannya - enggan memberikan sebarang kelebihan kepada lelaki terbabit, waima menyebut namanya.

Sebaliknya Jacinda meminta orang ramai menyebut dan mengenang nama-nama mangsa. Hussein Al-Umari dan Mucaad Ibrahim, misalnya. Atau Linda Armstrong, Mojammel Hoq, Hamza Mustafa, Naeem Rashid dan Ansi Karippakulam Alibava.

Jacinda itu jugalah yang pernah meninggalkan aliran kefahaman agamanya kerana mendapati ia bertentangan dengan pandangannya terutama terhadap komuniti gay.

Tetapi dia jugalah yang datang bertemu dengan mangsa dan waris mangsa serangan pengganas itu dengan berbaju hitam dan bertudung hitam juga.

Dia menunjukkan kebersamaan dan menampakkan kesedihan serta berkongsi rasa dengan orang yang kehilangan individu disayangi di dua masjid terbabit.

Sibuk dengan keutamaan lain

Kelmarin, sidang parlimen New Zealand dimulakan dengan bacaan beberapa potong ayat al-Quran. Ya, ayat-ayat suci dikumandangkan dalam sebuah dewan tertinggi milik salah sebuah kerajaan paling sekular di dunia dan dipimpin wanita kafir.

Untuk memulakan ucapan perdananya selepas itu Jacinda memberi salam. Dan menamatkan ucapannya dengan salam juga.

Nasib baik juga dia tidak berada di lokasi tertentu di Malaysia. Dia bukan Islam, mana boleh diizinkan 'mempersenda' ungkapan suci dari al-Quran, kan?

Esok, azan akan berkumandang melalui radio dan TV nasional New Zealand - sebuah negara dengan jumlah penduduk kira-kira 4.95 juta orang.

Negara itu juga akan bertafakur seketika bagi memperingati tragedi berdarah pada Jumaat lalu, sekali gus memberi penghormatan kepada mangsa-mangsanya.

Secara umum Jacinda menunjukkan sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh orang Islam. Tetapi biasalah. Orang Islam lebih sibuk dengan amalan yang dirasakan mereka lebih afdhal iaitu mengeji, mempersenda - malah mengkafirkan - orang yang tidak sehaluan dengan mereka.

Sebahagian besar daripada penduduk New Zealand yang beragama ialah penganut Kristian, manakala yang lain percaya kepada ajaran Hindu, Buddha, Islam, Sikh atau yang lain.

Tiada lagi kedengaran setakat ini mana-mana penduduk yang membenci Jacinda kerana memberi muka kepada komuniti pendatang. Yang ada, bangsa tertentu di luar negara tersebut yang menekankan bahawa 'pendatang' berbahaya untuk 'dibela'.

Belum ada lagi mana-mana kumpulan yang bangkit dengan marah-marah kerana memberi kelebihan kepada Islam dan umatnya di negara meriah dengan biri-biri itu.

Yang ada, orang di negara antah berantah yang sibuk dengan ketuanan bangsa dan meniupkan bara curiga terhadap pihak yang berbeza warna kulit. Harinya bermula dengan solat dan doa untuk kesejahteraan umat, kemudian diikuti pengisian agenda kebencian, perasaan bahawa dia insan terpilih, lebih mulia dan lebih berhak ke atas orang tertentu.

Rimbun dan teduh

Tidak timbul isu kaum minoriti mesti menghormati bangsa lain dalam sebuah negara yang dikongsi bersama hanya kerana faktor mereka paling dominan atau majoriti.

Yang ada, penceramah-penceramah yang menggunakan agama menjaja kisah betapa bangsa itu diancam oleh bangsa ini, dan parti itu berniat jahat ke atas parti ini - di luar New Zealand.

Mungkin kerana sikap toleransi dan ramah-tamah orang New Zealand itu jugalah seorang lelaki renta, Daoud Nabi, menyambut lelaki yang bakal meragut nyawanya di muka pintu masjid dengan kata-kata mesra dan hangat: "Hello brother."

Banyak yang diajar oleh New Zealand kepada kita dari sehari ke sehari. Bertimpa-timpa teladan dikirim Jacinda dan kerajaan sekularnya ke negara Islam ini.

Banyak yang ada di negara umat Islam di seluruh dunia. Hal itu termasuklah kebencian, kejahilan dan hasad dengki.

Bukan semua itu tidak ada di New Zealand. Mustahil tidak ada kejahatan di negara itu. Cuma ia dipercayai tidaklah semeriah di beberapa negara lain.

Jacinda memberikan gambaran bahawa ketika ini New Zealand ialah sebuah negara yang rimbun dengan ditadbir kerajaan yang teduh.

Tetapi ada sesuatu yang banyak di New Zealand dan sangat terhad Malaysia. Iaitu kambing biri-biri. Barangkali kerana itu jugalah ramai daripada kita gagal belajar tentang kesepakatan dan sikap saling hormat-menghormati.

Kita tidak banyak biri-biri. Cuma banyak buru-buru. Gemar belajar daripada sebahagian sikap anjing dan ular. Banyak menyalak dan membelit daripada berfikir dengan waras.

Dan ia mungkin dapat dilihat daripada komen-komen yang akan menyambut tulisan ini di bawah nanti. Satu, dua, tiga! Nah, dipersilalan mula mengeji. Persetankan kemanusiaan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang bercadang menjadi penternak biri-biri.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS