Solat jenazah ghaib seluruh Malaysia buat Haziq esok
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof meminta semua masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib selepas sembahyang Jumaat esok.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Mujahid berkata, ia sejajar dengan berita amat mendukacitakan yang diterima hari ini berkait terkorbannya remaja Malaysia Muhammad Haziq Mohd Tarmizi di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.
"Dengan berita yang amat mendukacitakan ini, semua masjid di seluruh Malaysia diminta mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Mohd Haziq selepas solat Jumaat esok," katanya.
Kedudukan Muhammad Haziq sebelum ini tidak dapat dipastikan dan remaja berusia 17 tahun itu dianggap tidak dapat dikesan sejak serangan berdarah oleh pengganas kulit putih berkenaan berlaku.
Bagaimanapun Muhammad Haziq disahkan meninggal dunia akibat insiden tersebut hari ini. Kementerian Luar mengesahkan perkara itu awal pagi tadi.
Dalam kenyataan sama Mujahid memberitahu beliau akan berlepas ke Christchurch pada petang ini untuk menjadi wakil Putrajaya bertemu dengan keluarga mangsa serangan pelampau terbabit.
Menurut Jabatan Perdana Menteri Muhajid dijadual bertemu keluarga Allahyarham Muhammad Haziq sejurus tiba di Christchurch.
Beliau kemudian akan menyampaikan khutbah di salah satu masjid yang diserang sebelum mendirikan solat Jumaat di situ.
Dalam kejadian pada minggu lalu itu seorang pengganas warga Australia melepaskan tembakan rambang ke arah umat Islam yang berada di Masjid al-Noor dan Pusat Islam Linwood, menyebabkan 50 terbunuh dan puluhan yang lain cedera.
Dua daripada mereka yang tercedera dan masih mendapatkan rawatan di Christchurch juga rakyat Malaysia.

