K'jaan akan tubuh sekretariat permuafakatan di semua PPR
PARLIMEN | Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberitahu bahawa kerajaan akan menubuhkan sekretariat permuafakatan di semua pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya, cadangan itu akan dilaksanakan Dasar Komuniti Negara bagi memastikan golongan B40 lebih terdedah dengan polisi kerajaan.
"Penubuhan sekretariat permuafakatan di setiap kawasan PPR agar ia dijadikan satu tempat rujukan program-program di bawah dasar komuniti negara.
"Dengan kerjasama KPKT bersama kementerian lain seperti KPNK, Kementerian Wanita, Pendidikan dan kementerian lain yang berkait dengan masyarakat B40 akan dijadikan rakan strategik dalam program ini," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Zuraida berkata dasar komuniti negara adalah satu dasar khususnya kepada masyarakat B40 untuk diberdayakan.
Zuraida berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Edmund Santhara (PH-Segamat) yang bertanya berhubung manfaat dasar tersebut kepada golongan B40.
"Ia adalah program sokongan untuk memastikan golongan B40 memahami kepentingan menjaga kediaman, harta benda, kebersihan, pendidikan, keselamatan dan juga kesejahteraan.
"Golongan B40 ini yang tinggal di kediaman berstrata atau flat mesti ada satu program yang serius untuk memberdayakan mereka," jelasnya lagi.
Tambahnya, projek perintis dilaksanakan di Lembah Subang 2, yang akan melibatkan sebanyak 40 program merangkumi lapan kluster.
"Lapan kluster itu adalah kesejahteraan, pendidikan, ekonomi, kepertahanan terhadap kanak-kanak dan OKU, keusahawanaan, sukan dan rekreasi supaya memberikan pendedahan kepada golongan B40," katanya.

