Pemuda PAS balas serangan HIV dengan isu LGBT
Pemimpin PAS hari ini mengaitkan DAP dengan kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ini sebagai menjawab kritikan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji, Perak Chong Zhemin semalam yang mendakwa kes HIV tinggi di Kelantan walaupun negeri itu tiada panggung wayang.
“Fahamkah Chong Zhemin apa itu HIV? Dari mana datang dan bagaimana berjangkit HIV?
“Tahukah Chong Zhemin bahawa LGBT yang seakan-akan didukung DAP merupakan faktor utama HIV selain dari suntikan dadah?” kata Ketua Pemuda PAS Perak Mohd Akmal Kamaruddin.

Chong semalam berkata keengganan kerajaan PAS Kelantan membuka panggung wayang di negeri itu atas alasan untuk mengelakkan masalah sosial adalah tidak logik dan tidak berasas.
Katanya, walaupun Kelantan sudah 30 tahun tiada panggung wayang, ia tetap mencatatkan kes HIV yang tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, Mohd Akmal turut menegaskan Kelantan bukanlah antara negeri tertinggi HIV.
Katanya, statistik 2017 menunjukkan bilangan penghidap HIV di Pulau Pinang yang dipimpin DAP mencatakan193 kes, melebihi Kelantan.
Dalam sidang DUN minggu ini, seorang Adun BN mencadangkan panggung wayang dibuka kembali dengan menggunakan konsep patuh syariah, tetapi tetap ditolak oleh kerajaan negeri.

