Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan tiga menteri digugurkan, dua timbalan menteri naik pangkat manakala dua bekas menteri kembali menganggotai semula kabinet.

Menteri yang digugurkan ialah Datuk Adnan Satem (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Shafie Salleh (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Leo Michael Toyad (Menteri Pelancongan).

Berdasarkan senarai baru itu, tiga timbalan menteri turut digugurkan. Mereka ialah Datuk Seri Kerk Choo Ting (Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Asas Tadi). Beliau digantikan oleh Datuk Mah Siew Keong.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mahadzir Mohd Khir juga digugur dan tempatnya diisi oleh Datuk Noh Omar yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Seorang lagi timbalan menteri yang digugurkan oleh Tengku Putera Tengku Awang (Timbalan Menteri Kewangan). Tempatnya diganti oleh Datuk Dr Awang Adek Husin yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Dua timbalan menteri yang dinaikkan pangkat ialah Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin yang dilantik sebagai Menteri Penerangan yang baru, menggantikan Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang meletakkan jawatannya.

Seorang lagi ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Jawatan tersebut dipangku oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selepas Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

Manakala Datin Seri Rafidah Aziz kekal sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bekas menteri kembali

Dua bekas menteri yang dilantik semula menganggotai Kabinet ialah Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan, menggantikan Datuk Dr Leo Michael Toyad.

Manakala Datuk Seri Dr Mohd Effendi Norwawi dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Bekas Menteri Pertanian dari Sarawak itu tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu.

Tengku Adnan merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Putrajaya. Jawatan terakhirnya dalam kabinet sebelum ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed pula dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Dr Shafie Salleh, yang digugurkan dari barisan kabinet.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid pula dilantik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menggantikan Datuk Seri Adenan Satem.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dilantik Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menggantikan Datuk Seri Azmi Khalid.

Senator Datuk Abdul Rahman Suliman pula dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana. Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula bertukar sebagai Timbalan Menteri Penerangan.

Noh Omar berpindah

Turut bertukar kementerian ialah Datuk Chia Kwang Chye dari Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri kepada Timbalan Menteri Penerangan.

Turut dinaikkan pangkat ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusof yang kini menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Manakala Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Datuk Zainal Abidin Othman dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Tiga muka baru yang dilantik ialah Ahli Parlimen Kemamam, Ahmad Sabry Cheek sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, manakala Ketua Pemuda MCA pusat, Datuk Liow Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan.

Seorang lagi ialah Datuk Dr S Vijayaratnam yang dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Perdagangan dan Komoditi.

Senarai perlantikan yang diumumkan hari ini:

Jabatan Perdana Menteri

Menteri: Datuk Mohd Affendi Nawawi

Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahman Suliman

Kementerian Penerangan

Menteri: Datuk Zainuddin Maidin

Timbalan Menteri: Datuk Zahid Hamidi, Datuk Chia Kwang Chye

Kementerian Halehwal Dalam Negeri

Menteri: Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad

Kementerian Wilayah Persekutuan

Menteri: Datuk Zulhasnan Rafiq

Timbalan Mentteri: Datuk Wira Abu Seman Yusop

Kementerian Pengajian Tinggi

Menteri: Datuk Mustapa Mohamad

Timbalan Menteri: Datuk Ong Tee Kiat

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Menteri: Datuk Seri Azmi Khalid

Kementerian Pelancongan

Menteri: Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor

Timbalan Menteri: Datuk Donald Lim

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Timbalan Menteri: Ng Lip Yong

Kementerian Pertanian dan Asas Tani

Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Menteri: Datuk Mah Siew Kiong

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri

Timbalan Menteri: Datuk Mohd Johari Baharum dan Datuk Fu Ah Kiow

Kementerian Kewangan

Timbalan Menteri: Datuk Dr Awang Adek Husin

Kementerian Belia dan Sukan

Timbalan Menteri: Datuk Liow Tiong Lai

Kementerian Pelajaran

Timbalan Menteri: Datuk Noh Omar

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Timbalan Menteri: Datuk Haji Zainal Abidin Othman

Kementerian Perusahaan Perdagangan dan Komoditi

Setiausaha Parlimen: Senator Datuk Dr S Vijayaratnam

Kementerian Luar Negeri

Setiausaha Parlimen; Ahmad Sabry Cheek