Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang akan dilangsungkan esok bukan semata-mata menzahirkan solidariti terhadap tragedi serangan ganas di Christchurch New Zealand minggu lalu, tetapi juga bagi menambah-erat kekuatan persaudaraan kemanusiaan.

Bagi Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Abu Hafiz Salleh Hudin, rakyat sudah letih dengan kaedah “marah-marah”, sebaliknya mahu mengangkat soal agama dan bangsa secara lebih “ramah-tamah”.

“Kami tak meletakkan (himpunan tersebut) untuk dibanding-bandingkan dengan himpunan lain. Himpunan ini melangkaui parti politik dan sifat eksklusif kelompok tertentu.

“Jadi mari kita seramai-ramainya silakan hadir untuk mulakan usaha solidariti rentas agama dan bangsa, letakkan satu objektif menjadikan keamanan dan kedamaian sebagai rukun terkuat dalam Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Himpunan Solidariti Kedamaian diumumkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang terdiri daripada wakil-wakil agama dan pertubuhan bukan kerajaan pada Isnin lalu.

Himpunan tersebut dijadual bermula di Sogo Kuala Lumpur pada jam 7 pagi sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada 7.45 pagi dan bakal menyaksikan ucapan daripada tokoh yang mewakili pelbagai agama.

Kata Abu Hafiz, isu perkauman dan agama yang kerap dimainkan di media sosial perlu ditangani dengan tangkas oleh pihak berkuasa kerana ia seperti ‘sumbu’ yang paling cepat memarakkan rasa marah di kalangan rakyat.

Tambah pelatih akademik Jabatan Quran dan Sunnah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, meskipun Malaysia Baru mengangkat kebebasan bersuara, ia tidak bermaksud kebebasan itu boleh digunakan untuk menipu, menghina dan menyebabkan pergaduhan dengan kaum lain.

“Kalau sesuatu permainan kaum dan agama (yang tidak benar) tular dan tidak ditangani dalam kurang dari dua jam, ia akan jadi ‘fakta’ yang diterima oleh warganet.

“Maka, di peringkat penerangan, pihak kerajaan perlu menjawab dengan cepat terhadap isu yang timbul di media sosial,” tambahnya.

Menurutnya lagi, pihak berkuasa perlu bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap golongan yang suka membuat provokasi agar cerita bohong atau cerita sengaja dibesar-besarkan tidak menjadi perbalahan antara kaum dan agama.

“Kalau tanya pada saya, kita tak perlu ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau tahanan tanpa bicara, tapi perlu cepat pada penguatkuasa atau SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk tangkap mereka yang sengaja mencetuskan ketidakstabilan ini.

“(Contohnya dalam kebakaran hutan), kita tak boleh tanam semula hutan dalam masa sama membiarkan api terus membakar kawasan hutan. Padamkan api, baru boleh buat rancangan menghijaukan semula hutan.

“Minimumkan kewujudan mereka (dengan kuat kuasakan undang-undang), barulah kita bergerak ke arah persefahaman ini," jelasnya.

Katanya lagi, biarpun Islam merupakan agama persekutuan, ia tidak sama sekali menghalalkan cara kasar dan ekstrim untuk mengulas agama lain.

“Kita tak suka orang mengulas Islam dengan fakta yang salah, kita juga perlu untuk memahami agama mereka dari sumber mereka juga,” katanya.

Mengulas lanjut tentang himpunan Sabtu ini, Exco Agama Armada Nasional itu menganggarkan kehadiran kira-kira dua ke tiga ribu peserta. Bagaimanapun, dia mengingatkan himpunan itu nanti bukan semata-mata soal ‘nombor’.

“Dr Mujahid sendiri apabila ditanya dalam perbincangan, bagaimana kalau nanti tak ramai (turun)? Beliau kata, kita bukan mencari nombor.

“Kadang-kala permulaan itu adalah jumlah yang sedikit, dan kita akan teruskan sehingga majoriti rakyat Malaysia boleh bersama dengan kita untuk mempromosikan kedamaian, keamanan dan solidariti kehidupan bersama dalam masyarakat Malaysia (yang pelbagai) agama dan kaum,” jelasnya lagi. 

Hindu Sangam harap ramai turun

Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), RS Mohan Shan mengharapkan rakyat dapat turun beramai-ramai bagi menunjukkan solidariti ke arah kedamaian dan menolak kebencian.

“Kita buat (himpunan ini) dalam masa yang singkat, hanya hebahkan melalui media sosial. Diharapkan rakyat ambil positif inisiatif ini.

“Kadang-kadang orang kita tak ambil positif perkara baik seperti ini. Kalau perkara negatif, dia sebar begitu kuat pula,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Mohan Shan 

Selain presiden MHS, Mohan juga merupakan presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST).

Jelasnya, himpunan tersebut sudah lama dirancangkan, bagaimanapun ia dipersetujui untuk dipercepatkan ekoran kejadian berdarah di Christchurch yang mengorbankan 50 penganut Islam termasuk seorang warga Malaysia Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Dalam tragedi tersebut, lelaki warga Australia yang disyaki pelampau kulit putih, Brenton Harrison Tarrant, didakwa melakukan serangan dengan menembak orang Islam di dua masjid di Chritchurch.

Selain MHS dan MCCBCHST, mesyuarat tersebut turut dihadiri beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Gabungan Dakwah Malaysia, Gabungan Bertindak Malaysia, dan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

Dia yang terlibat dalam mesyuarat JKMPKA Isnin lalu menganggap usaha kerajaan ini sebagai satu langkah positif ke arah keharmonian kaum.

“Sebenarnya, ini kali pertama kami masuk Jawi (bangunan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk mesyuarat.

“Saya jadi presiden MHS untuk sepuluh tahun dan MCCBCHST untuk dua tahun, tapi tak pernah dijemput untuk berbincang dan suarakan pandangan di Jakim,” jelasnya.

Menurutnya, hasil perbincangan dalam mesyuarat tersebut, jawatankuasa yang diselia oleh menteri di jabatan perdana menteri (perpaduan dan hal ehwal agama) bersetuju untuk tidak membiarkan inisiatif baik itu terhenti setakat itu sahaja.

Selepas ini, katanya, lebih banyak program susulan yang berterusan akan diadakan bagi menggalakkan hubungan baik antara kaum dan agama, termasuk program rentas agama.

Ketika himpunan itu nanti, dia juga dijangka terlibat menyampaikan ucapan ringkas bersama beberapa lagi pemimpin agama kepada peserta yang hadir.

“Tak boleh cakap ucapan juga, cuma mesej pendek, dalam tiga minit begitu. Mesej pendek kepada komuniti, supaya bersolidariti untuk keamanan.

“Anda lihat sekarang, kerajaan sudah banyak ambil tindakan terhadap mereka yang menghina agama dan menyebabkan penganut sesuatu agama itu marah.

“Kalau tidak dikawal, (tak mustahil) satu hari nanti perkara yang sama terjadi di New Zealand boleh terjadi di negara ini. Kita tak mahu itu, kita mahukan keamanan dan kedamaian,” katanya lagi.