Semua sekolah di Pasir Gudang dibuka semula 31 Mac
Semua sekolah di Pasir Gudang yang ditutup ekoran bencana pencemaran toksik Sungai Kim Kim akan dibuka semula mulai 31 Mac (Ahad).
Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan perkara itu diputuskan susulan penamatan Ops Sungai Kim Kim dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada 19 Mac lalu.
“Mesyuarat JPBN bagi menangani pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, [...] telah memutuskan menghentikan Ops Sungai Kim Kim, menutup Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kejadian bencana menunjukkan perubahan semakin positif serta sudah hampir pulih sepenuhnya.
“Kerja-kerja pembersihan sekolah juga akan dilakukan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK), agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta tempatan.
“(Ia akan dilakukan) tanpa melibatkan murid mengikut kesesuaian pihak sekolah sebelum sekolah dibuka, dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu pembuangan sisa toksik di sungai tersebut menyebabkan kesihatan hampir 2,000 orang terjejas dan perlu mendapatkan rawatan.
Susulan kejadian itu, semua sekolah di Pasir Gudang telah diarahkan tutup.
Kelmarin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memaklumkan kementeriannya akan mewujudkan jawatankuasa penilai bagi melihat sungai-sungai tercemar bukan sahaja di Pasir Gudang malah di semua kawasan perindustrian di seluruh negara.

