Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelajar: Kamu tidak popular Najib, jangan angkuh

Pelajar Universiti Malaya (UM) yang diserang penyokong bekas perdana menteri mendakwa niatnya bukan untuk memprovokasi tetapi untuk mengingatkan Najib Razak bahawa dia tidak popular seperti yang difikirkannya.

"Kami memegang kadbod untuk menunjukkan bahawa kami masih peka dengan skandal 1MDB," kata Wong Yang Ke kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

"Kami ingin beritahu Najib bahawa dia tidak popular dan tidak dialu-alukan seperti yang difikirkannya. Kami nak dia tahu yang ada orang menentangnya dan dia tidak sepatutnya angkuh. Jika tidak, dia nampak begitu sombong dan berpuas hati, seperti dia tidak tahu mengenai salahlakunya, "tambahnya.

Wong ditahan berhampiran pintu masuk UM ketika memegang plakad berupa gambar badut menyerupai Najib ketika bekas perdana menteri itu berucap dalam program santai di Restoran Amjal yang terletak di hadapan universiti berkenaan.

Wong dan enam ahli Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) kemudian dibawa oleh polis ke balai polis Pantai Dalam untuk 'dilindungi'.

Sementara itu, presiden Umany menyifatkan Najib sebagai "munafik" kerana peruntukan untuk universiti itu sebenarnya dikurangkan di bawah kerajaan BN sebelum ini.

Namun katanya, Najib kini menyatakan rasa 'sedih' tentang nasib pelajar universiti berkenaan yang kelaparan.

"Ada perbincangan mengenai pelajar universiti yang kelaparan dan Najib kata dia sedih. Kami ingin mengatakan kepadanya bahawa dia seorang munafik, kenapa tidak kamu menyatakan kesedihan kamu apabila peruntukan untuk UM dikurangkan ketika kamu berkuasa? "

"Juga, apabila pelajar-pelajar mencadangkan untuk menubuhkan bank makanan, dia adalah orang yang tidak mengendahkan permintaan pelajar. Ya, kamu (Najib) mempunyai hak kamu untuk mengkritik Pakatan Harapan, tetapi kami ingin beritahu kamu bahawa kamu begitu munafik dan berpura-pura," kata Wong.

Isu pelajar universiti yang kelaparan dibawa ke perhatian kabinet selepas laporan media baru-baru ini mendedahkan perkara itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memutuskan untuk memperluaskan program Bank Makanan Malaysia ke kampus-kampus universiti dalam usaha untuk membantu pelajar yang kelaparan.

Sementara itu, Wong menegaskan mereka hanya memegang plakad untuk "membantah secara senyap" dan tidak ada tindakan provokasi dilakukan oleh ahli Umany yang diserang petang ini.

Wong mengkritik kelakuan ganas penyokong Najib yang mencemarkan hak asasi manusia kerana menghalang kebebasan mereka untuk bersuara.

Dia mendakwa semasa kekecohan itu, plakad gambar badut menyerupai Najib telah dirampas dan dikoyakkan, manakala dia dicekik dan mukanya ditampar. 

Dia juga mendakwa rambutnya ditarik oleh seseorang dan bibirnya cedera.

Wong menambah rakan mereka dari Angkatan Mahasiswa UM turut merancang untuk menghadiri protes senyap itu tetapi kejadian tersebut berlaku sebelum ketibaan mereka.

Lihat Komen
ADS