Isu GPMS: Kumpulan Reezal didakwa tidak sah
Kumpulan Reezal Merican Naina Merican tidak layak menghantar laporan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana mereka bukan ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang sah, dakwa Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad.
Kumpulan Reezal Merican Naina Merican tidak layak menghantar laporan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana mereka bukan ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang sah, dakwa Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad.
Katanya, sebahagian daripada pucuk pimpinan kumpulan itu merupakan ahli yang sudah dipecat daripada GPMS.
Menurutnya lagi, Timbalan Presiden kumpulan Reezal, Syed Anuar Mohamad telah dipecat manakala Setiausaha Agungnya, Jais Abdul Karim digantung jawatan pada tahun lalu.
"Ada juga yang tidak membayar yuran tahunan dan sekaligus keahlian mereka gugur. Jadi atas platform apa kumpulan itu mengadakan persidangan tahunan dan seterusnya menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan.
"Berdasarkan kenyataan itu, perlukah Pendaftar Pertubuhan menerima laporan daripada kumpulan bukan ahli GPMS," katanya.
Sobri berkata demikian sebagai mengulas tindakan Jais yang menghantar laporan mengenai persidangan khas GPMS yang mereka adakan pada 25 Disember lalu kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya.
Bagaimanapun beliau enggan memberitahu sama ada kumpulannya yang diketuai oleh Datuk Suhaimi Ibrahim yang turut mengadakan persidangan, akan turut menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan.
Geran tahunan
Mengikut Akta Pertubuhan 1962, sesebuah persatuan diberi masa dua bulan untuk menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan selepas mengadakan persidangan.
Sobri berkata, terpulang kepada Pendaftar Pertubuhan untuk menentukan kumpulan mana yang sah untuk menerajui GPMS.
"Kami sedang memerhati perkembangan terbaru dalam gabungan ini. Kami akan tunggu apa keputusan Pendaftar Pertubuhan dalam kes ini.
"Jika mereka membuat keputusan berdasarkan tekanan politik, kumpulan kami akan mengambil tindakan ke atas mereka," katanya lagi.
Sobri berkata, sehingga hari ini GPMS belum menerima geran tahunan berjumlah RM100,00 dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana dihalang oleh pihak tertentu.
Katanya, tindakan tersebut amat menyedihkan kerana mereka telah menggunakan kedudukan politik untuk menghalang GPMS mendapat geran tahunan tersebut.
" Tidakkah mereka tahu wang tersebut digunakan untuk membantu pelajar Melayu dalam bidang pendidikan," soal beliau.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.