Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peserta berbaju putih hadir Himpunan Solidariti Kedamaian

Kira-kira 500 peserta Perhimpunan Solidariti Kedamaian mula berkumpul di hadapan pusat membeli belah Sogo sejak awal pagi bagi menyatakan solidariti terhadap mangsa tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum berpakaian serba putih berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka sambil melaungkan "hidup, hidup kedamaian" dan "tolak kebencian."

Peserta mula berkumpul di hadapan pusat beli-belah itu sejak jam 6.45 pagi.

Selain itu, terdapat juga di antara mereka yang membawa sepanduk dan kain rentang dengan mesej menolak keganasan dan kebencian.

Antara yang berucap dalam himpunan itu ialah wakil keluarga Haziq Mohd Tarmizi, warga Malaysia yang terkorban dalam serangan berkenaan.

Zarina Shuib, ibu saudara kepada Allahyarham Haziq berkata dia terharu dengan sokongan ditunjukkan rakyat Malaysia yang sanggup berhimpun pada pagi ini.

"Kami panjatkan kesyukuran kepada Allah. Sesungguhnya ujian berat menimpa keluarga kami di New Zealand akibat serangan tembakan rambang di sana," katanya. 

Hadir dalam himpunan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Notage, wakil dari Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia, Andrew Goledzinowski dan Duta Turki ke Malaysia, Merve Kavakci.

Turut kelihatan, beberapa ketua-ketua agama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan persatuan agama.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Antara menteri yang hadir menyertai himpunan itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, Menteri Hal Ehwal Islam Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Perpaduan P Waythamoorthy.

Perhimpunan aman itu diadakan susulan tragedi berdarah serangan pengganas di Chrischurch, New Zealand, 15 Mac lepas.

Khamis lalu, Wisma Putra berkata Haziq, 17 yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam serangan itu. 

Himpunan pagi ini berakhir kira-kira jam 10.10 pagi.

Lihat Komen
ADS